PPDA melakukan operasi SAR di Sungai Kampung Sahari bagi mencari seorang lagi mangsa. FOTO Ihsan Bomba
PPDA melakukan operasi SAR di Sungai Kampung Sahari bagi mencari seorang lagi mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Adnan Ibrahim


“SAYA mohon bantuan umat Islam mendoakan anak saya dijumpai segera dan jika dia tidak bernyawa biarlah kami jumpa jasadnya kerana sudah lebih 12 jam dia hilang,” rayu Mohd Said Abdul Wahab, 56.

Mohd Said adalah bapa Mohd Danish Mirzan, 16, remaja yang dikhuatiri lemas di Sungai Kampung Sahari, Kluang petang semalam.

Dalam kejadian 6.10 petang itu, Mohd Danish Mirzan hilang bersama Muhammad Ammar Mazeni, 13, ketika mandi bersama enam rakan Sekolah Tahfiz Assidiq Gurfan selepas dibawa arus deras secara tiba-tiba.

Mohd Said berkata, sebagai orang Islam dia dan isteri menerima takdir itu dan hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus mencari anaknya walaupun dalam keadaan hujan.

“Kami sangat berharap dia ditemui segera dan berterima kasih kepada anggota pasukan yang melakukan kerja mencari dan menyelamat dalam keadaan hujan sepanjang hari.

“Saya dan isteri, Rozita Mohd Yusof, 49, menerima ketentuan ini dan menganggapnya ujian Allah SWT untuk keluarga kami dan bersedia menerima apa juga keadaan anak apabila ditemui.

“Kali terakhir saya bercakap dengannya petang semalam dan dia beritahu mahu menumpang salah seorang kawannya pulang ke rumah kami di Kluang jika saya tak sempat menjemputnya,” katanya ditemui di pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di Sungai Kampung Sahari hari ini.

Mohd Said menunjukkan gambar Mohd Danish Mirzan ketika ditemui di lokasi. FOTO Adnan Ibrahim
Mohd Said menunjukkan gambar Mohd Danish Mirzan ketika ditemui di lokasi. FOTO Adnan Ibrahim

Mohd Said berkata, dia memberitahu anaknya dia bersama isteri akan menjemputnya kerana ketika itu mereka dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru.

Katanya, mereka hanya mengetahui kejadian menimpa anak ketiga dari empat beradik itu selepas dihubungi pengurusan sekolah sejurus selesai solat Maghrib di surau Kampung Sahari yang hanya kira-kira empat kilometer dari sekolah berkenaan.

“Kami kemudian bergegas ke sekolah sebelum dibawa ke tempat kejadian untuk mendengar taklimat SAR oleh anggota bomba.

“Kami tidak menyangka dia terbabit dengan tragedi itu kerana biasanya dia tidak berminat dalam aktiviti membabitkan sungai,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu Mohd Danish Mirzan pada minggu lalu ketika mereka menghadiri majlis keluarga di Melaka.

“Ketika itu anak tidak menunjukkan sebarang perubahan malah Februari lalu kami menunaikan umrah bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Asyraf Nur Mohd Yusuf berkata, SAR diperluaskan ke kawasan sejauh lima kilometer bermula tempat mangsa dilaporkan hanyut hingga ke pusat operasi.

“SAR menggunakan cara menyusuri sungai dengan menggeledah tebing dan dasar yang dilakukan 11 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Kluang dan Simpang Renggam.

“Pagi tadi kerja mencari agak mudah kerana air masih surut namun sejak hujan bermula 11 pagi air sungai naik semula,” katanya.

Menurutnya, jika masih gagal ditemui operasi akan ditangguhkan sebaik keadaan gelap dan disambung semula pagi esok.

Mayat Muhammad Ammar ditemui kira-kira dua kilometer dari tempat mereka dilaporkan hilang 5.20 pagi tadi.

Berita berkaitan

Mayat Ammar sudah ditemui

[UPDATE] Akur kehendak takdir

2 remaja dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 6:05 PM