ABANG Johari bersama suami mendiang Joanna, Haslie Ali (kanan) di Kampung Engkaroh, Tebakang, hari ini.  FOTO Ihsan UKAS
ABANG Johari bersama suami mendiang Joanna, Haslie Ali (kanan) di Kampung Engkaroh, Tebakang, hari ini. FOTO Ihsan UKAS
Mohd Roji Kawi


Serian : Kerajaan Sarawak akan menanggung kos pendidikan dua anak mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia Rohna, bermula sekolah rendah sehingga ke peringkat universiti.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, bantuan itu akan disalurkan menerusi Yayasan Sarawak apabila nama dua beradik itu didaftarkan di dalam senarai badan berkanun itu yang bertanggungjawab membantu meningkatkan kualiti pendidikan anak Sarawak.

Menurutnya, Yayasan Sarawak juga akan memantau secara berterusan perkembangan pendidikan dua beradik itu menerusi bapa mereka bagi memastikan mereka mendapat pendidikan sewajarnya.

"Anak sulung mendiang ketika ini masih lagi di peringkat Taska manakala yang kedua baru berusia setahun, tetapi nama mereka akan didaftarkan di Yayasan Sarawak.

"Apabila nama sudah didaftarkan, kita akan terus membantu pendidikan mereka sehingga ke peringkat tertinggi," katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika mengunjungi waris mendiang Joanna di Kampung Engkaroh, Tebakang, di sini, hari ini.

Dalam kunjungan itu, beliau turut menghulurkan sumbangan kerajaan Sarawak sebanyak RM10,000 kepada keluarga mendiang.

Abang Johari berkata, beliau menerima berita nahas yang mengorbankan Joanna serta sembilan lagi pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika beliau sedang menghadiri forum di Poland.

"Saya mewakili kerajaan Sarawak mengucapkan takziah dan rasa simpati kami dengan nasib yang menimpa mendiang," katanya.

Beliau turut mengharapkan kedua-dua anak mendiang Joanna iaitu yang perempuan Allesia Felice Haslie, 4 dan anak lelaki, Hovannes Haslie, berusia setahun berjaya melanjutkan pelajaran hingga peringkat universiti dan mendoakan mereka turut menjadi pegawai tentera satu hari nanti.

"Saya percaya kedua-dua anak ini mempunyai semangat wira yang diwarisi daripada ibu bapa mereka yang bertugas sebagai anggota tentera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 5:17 PM