SULTAN Mizan berkenan bertitah pada Istiadat Pengurniaan Gelaran dan Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu Darul Iman sempena Sambutan Ulang Tahun ke-62 Hari Keputeraan Sultan Terengganu di Istana Syarqiyyah hari ini. FOTO Bernama
SULTAN Mizan berkenan bertitah pada Istiadat Pengurniaan Gelaran dan Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu Darul Iman sempena Sambutan Ulang Tahun ke-62 Hari Keputeraan Sultan Terengganu di Istana Syarqiyyah hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Terengganu: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyarankan agar konsep pertanian menegak dibangunkan menerusi pembuktian konsep (POC), supaya dapat menjadi contoh kepada pembangunan dengan menggunakan pendekatan lebih berinovasi.

Baginda bertitah kaedah pertanian itu, dapat mengawal sebarang penyakit secara lebih berkesan dengan pengendalian sisa buangan daripada sisa ternakan dan tanaman, digunakan semula secara komprehensif dalam sektor ekonomi kitaran yang lain.

"Beta telah meneliti berkenaan vertical farming yang juga satu kaedah pertanian moden yang mana semua aktiviti penanaman, penternakan serta akuakultur dijalankan dalam satu struktur bangunan yang dilengkapi dengan infrastruktur, seperti sebuah ladang yang lengkap.

"Konsep pertanian ini merupakan satu kaedah pertanian masa depan, disebabkan oleh konflik guna tanah pertanian, cabaran kepada perubahan iklim serta keperluan permintaan bekalan makanan yang meningkat, dengan kadar pertumbuhan penduduk dunia," titah baginda sempena Ulang Tahun ke-62 Hari Keputeraan Sultan Terengganu, di Istana Syarqiyyah, di sini hari ini.

Sultan Mizan bertitah meskipun keluasan 244,000 hektar tanah pertanian di Terengganu dan separuh daripadanya telah ditanam dengan komoditi seperti kelapa sawit dan getah, namun keperluan kepada pembangunan fizikal bagi memenuhi keperluan penduduk Terengganu, merupakan pertimbangan yang perlu difikirkan bagi memastikan guna tanah bagi sektor agromakanan terus dikekalkan.

"Beta memahami salah satu faktor menarik pelabur untuk melaksanakan projek di negeri ini adalah dengan ketersediaan tanah bersaiz komersial.

"Dengan pengisytiharan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu, beta berharap lebih banyak peluang pelaburan dalam sektor pertanian, yang dapat memberikan limpahan manfaat kepada rakyat negeri ini," titah baginda yang turut menyarankan penggunaan teknologi terkini untuk memanfaatkan tanah dengan lebih berkesan.

Sultan Mizan bertitah agar sektor pelancongan juga perlu terus diberikan penekanan, untuk meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat Terengganu menerusi pelaksanaan promosi pelancongan, serta penganjuran acara sepanjang tahun.

"Kerajaan beta diharap berusaha meningkatkan tahap infrastruktur untuk keselesaan pelancong serta persediaan bagi Tahun Melawat Terengganu pada 2027.

"Pembangunan infrastruktur asas di pulau-pulau peranginan seperti tenaga elektrik dan sumber air bersih, perlu ditambah baik.

"Pengurusan sisa kumbahan yang berkesan juga perlu dititikberatkan… pengurusan sistem pengangkutan ke pulau peranginan perlu ditambah baik," titah baginda sambil menyarankan kerajaan negeri mengenal pasti strategi untuk memastikan sektor pelancongan dari kluster pulau dan pantai turut memberi impak limpahan ekonomi kepada negeri.

Dalam pada itu, Sultan Mizan bertitah agar penjanaan pendapatan baharu perlu diteroka sebaiknya, dengan merujuk kepada hidrogen hijau yang merupakan sumber tenaga hijau dan boleh diperbaharui.

Titah baginda Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) yang dijangka dapat membantu Malaysia, meneroka pasaran hidrogen hijau global bernilai sekurang-kurangnya RM824 bilion menjelang 2050, perlu dimanfaatkan kerajaan negeri untuk menjadi peneraju utama dalam sumber tenaga itu.

"Segala tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan untuk penghasilan hidrogen hijau melalui sumber tenaga boleh baharu, perlu diberi penekanan agar dapat dikembangkan teknologi pengeluarannya yang cekap serta mampan.

"Untuk pembangunan infrastruktur yang diperlukan bagi pengeluaran, penyimpanan dan pengedaran pula, kerajaan negeri haruslah menjalankan kerjasama dengan syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini, bagi mempercepatkan pembangunan industri hidrogen hijau," titah baginda yang turut yakin kerajaan negeri mampu menarik pelabur dari dalam dan luar negara bagi membiayai pengeluaran hidrogen hijau.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 5:25 PM