MUHAMMAD Ammar lemas selepas hanyut dibawa arus deras di Sungai Kampung Sahari di Simpang Renggam, Kluang. FOTO IHSAN PDRM.
MUHAMMAD Ammar lemas selepas hanyut dibawa arus deras di Sungai Kampung Sahari di Simpang Renggam, Kluang. FOTO IHSAN PDRM.
Adnan Ibrahim


“MASIH terbayang adik dan rakan sekelas terkapai-kapai cuba mencari tempat berpaut di tebing sungai,” kata Muhammad Afiq Mazeni, 16.

Muhammad Afiq adalah seorang daripada enam pelajar Sekolah Tahfiz Assidiq Gurfan yang terselamat dalam kejadian lemas di Sungai Kampung Sahari di Simpang Renggam, petang semalam.

Dalam kejadian 6.10 petang semalam, lapan pelajar sekolah itu mandi di sungai berkenaan sebelum adik Muhammad Afiq, Muhammad Ammar, 13 dan rakan sekelasnya, Mohd Danish Mirzan Mohd Said, 16, hilang dibawa arus deras.

Muhammad Ammar ditemui lemas di dasar sungai oleh pasukan mencari dan menyelamat hampir dua kilometer dari tempat kejadian, 5.20 pagi hari ini.

Muhammad Afiq berkata, sebaik menyelamatkan diri ke tebing dia melihat ke arah tengah sungai dan mendapati adik dan kawannya terkapai-kapai cuba mencari tempat berpaut di tebing, manakala seorang lagi adiknya, Muhammad Adib, 15, selamat.

“Melihat keadaan itu, saya terus memanjat tebing dan berlari sejauh kira-kira 500 meter ke hilir sungai untuk memintas mereka berdua, namun hanya melihat Mohd Danish Mirzan.

“Saya terjun ke sungai untuk memberikan bantuan, saya dapat mencapai tangannya untuk beberapa saat sebelum terlepas dan dia hanyut dibawa arus deras, manakala saya hanya mampu berpaut pada pokok.

“Tidak lama kemudian, saya diselamatkan anggota bomba yang datang memberikan bantuan,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah Allahyarham Muhammad Ammar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ithnin Maarof dekat Simpang Renggam, hari ini.

MOHAMMAD Afiq (tiga dari kanan) bersama bapanya Mazeni (dua dari kanan) ketika pengebumian jenazah Mohammad Ammar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ithnin Maarof di Simpang Renggam. FOTO Adnan Ibrahim
MOHAMMAD Afiq (tiga dari kanan) bersama bapanya Mazeni (dua dari kanan) ketika pengebumian jenazah Mohammad Ammar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ithnin Maarof di Simpang Renggam. FOTO Adnan Ibrahim

Menurutnya, selepas diselamatkan dia tidak dapat melihat adik dan kawannya selain merasa kesal kerana gagal menyelamatkan kedua-dua mangsa walaupun mempunyai kemahiran berenang.

“Ketika kami mandi di sungai berkenaan, air hanya paras pinggang dan tiada sebarang tanda air akan naik.

“Malangnya, secara mengejut air menderu menyebabkan kami semua berusaha menyelamatkan diri.

“Ketika itu, adik (Muhammad Ammar) dan Mohd Danish Mirzan di tengah sungai menyebabkan mereka tidak sempat berbuat apa-apa atau lari ke tebing sungai,” katanya.

Sementara itu, bapa Muhammad Afiq dan Muhammad Ammar, Mazeni Kasman, 46, berkata apa yang berlaku tidak akan membuatkan dia menukar rancangan menyekolahkan lima anak lelakinya menuntut di sekolah sama.

Katanya, apa yang berlaku adalah ujian semata-mata dan tidak akan melemahkan semangat untuk memberikan anaknya pendidikan agama yang lebih baik sebagai bekalan masa hadapan.

“Apa yang berlaku ini satu peringatan kepada semua bahawa kita harus sentiasa berhati-hati di mana sahaja kerana kejadian seperti ini boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya.

Berita berkaitan

Mayat Ammar sudah ditemui

[UPDATE] Akur kehendak takdir

2 remaja dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 7:09 PM