Zaid Salim


MAYAT Muhammad Danial Danish Mohd Jasmin, 14, yang lemas di Sungai Terengganu dekat Kampung Seberang Tuan Chik, Kuala Nerus semalam ditemui, 11.02 pagi, hari ini.

Mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelong, Setiu ditemui terapung di permukaan air kira-kira 50 meter dari tempat kejadian oleh anggota Bomba dan Penyelamat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di permukaan air.

Penemuan itu adalah hasil kepakaran anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berjaya mengesan lokasi mangsa sebelum mayatnya timbul di permukaan air.

Mayat pelajar tingkatan dua itu kemudian diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar mengesahkan mengenai penemuan mayat berkenaan.

"Kita mendapat petunjuk kedudukan mangsa selepas dikesan anjing berkenaan.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua anggota yang terbabit dalam ops SAR yang dilakukan selama dua hari bermula semalam," katanya.

Dalam kejadian 2.45 petang semalam, Muhammad Danial Danish dari Kampung Tebauk dilaporkan lemas ketika mandi bersama empat rakan di sungai berkenaan selepas dihanyutkan arus.

Berita berkaitan

Guna K9 cari Danial Danish

Operasi cari Danial Danish ditangguh

Mandi sebelum memancing [METROTV]

Remaja dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 12:02 PM
ANJING Pengesan Unit K9 JBPM Jalan Kelang Lama melakukan operasi SAR mangsa lemas di Sungai Terengganu dekat Kampung Seberang Tuan Chik yang memasuki hari kedua. FOTO Zaid Salim
ANJING Pengesan Unit K9 JBPM Jalan Kelang Lama melakukan operasi SAR mangsa lemas di Sungai Terengganu dekat Kampung Seberang Tuan Chik yang memasuki hari kedua. FOTO Zaid Salim