ANAK anjing (kiri dan kanan) kepada Noobu (tengah) ditempatkan di bawah jagaan sebuah NGO di Kota Kinabalu, Sabah. FOTO Ihsan Pembaca
ANAK anjing (kiri dan kanan) kepada Noobu (tengah) ditempatkan di bawah jagaan sebuah NGO di Kota Kinabalu, Sabah. FOTO Ihsan Pembaca
Faliq Lajim


ANJING yang ditetak sehingga menyebabkan mulutnya terputus di Kampung Tembovo, Penampang, Sabah, dilaporkan stabil.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, anjing yang diberi nama Noobu itu kini diletakkan di bawah jagaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kota Kinabalu.

Menurutnya, selain Noobu, dua lagi anaknya iaitu Simba dan Nala turut diselamatkan dan ditempatkan di bawah jagaan NGO terbabit.

“Walaupun doktor menasihati untuk mematikan anjing itu berdasarkan penilaian kecederaan yang dibuat, namun pasukan penyelamat haiwan di sana masih mahu merawatnya terlebih dulu.

“Sekarang ini, mereka minta untuk beberapa minggu lagi untuk merawat Noobu sehingga lukanya sembuh dan boleh makan dengan sendiri.

“Mereka masih memantau perkembangan kesihatannya sebelum mengambil tindakan seterusnya.

“Hari ini Noobu kelihatan sihat serta boleh makan serta minum menggunakan picagari,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dalam pada itu, Arie mengucapkan terima kasih kepada aktivis haiwan yang terbabit dalam menyelamatkan Noobu dan anaknya sejak Ahad, lalu.

“Kami harap agar lebih ramai kumpulan aktivis serta pencinta haiwan untuk membuat laporan polis dan juga Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Sabah mengenai perlakuan zalim itu.

“Walaupun, anjing itu sudah diselamatkan, namun kita mahu pelakunya ditangkap dan dikenakan hukuman seberat-beratnya.

“Animal Malaysia tetap dengan pendirian agar Akta Kebajikan Haiwan 2015, Enakmen Kebajikan Haiwan Sabah 2015, Enakmen Kebajikan Haiwan Sarawak 2015 dipinda dengan memasukkan hukuman penjara berserta hukuman sebat mandatori terhadap penzalim haiwan,” katanya.

Harian Metro turut difahamkan Simba dan Nala juga akan diambil sebagai haiwan angkat oleh mereka yang berminat selepas mendapat suntikan vaksin dan dimandulkan.

Semalam, portal Harian Metro melaporkan persatuan itu menawarkan sebuah skuter kepada mereka yang menyalurkan maklumat lengkap mengenai individu yang menetak mulut seekor anjing sehingga putus.

Persatuan itu menawarkan hadiah sebuah skuter bernilai RM9,500 kepada individu atau saksi kejadian yang memberi maklumat lengkap sehingga kes itu selesai dengan menghubungi pihaknya di talian 011-20901097 (WhatsApp sahaja).

LAPORAN portal Harian Metro mengenai individu yang menetak mulut anjing sehingga putus.
LAPORAN portal Harian Metro mengenai individu yang menetak mulut anjing sehingga putus.

Berita berkaitan

Kejam sungguh...

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 4:57 PM