Anjing yang ditemui mati dengan dua anak panah di bahagian kiri badan haiwan itu. FOTO Ihsan Pembaca
Anjing yang ditemui mati dengan dua anak panah di bahagian kiri badan haiwan itu. FOTO Ihsan Pembaca
Faliq Lajim


ANJING ditemui mati di depan sebuah kedai dengan dua anak panah di bahagian kiri badan haiwan itu.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, dia difahamkan kejadian itu berlaku di Pekan Kuah, Pulau Langkawi Kedah hari ini.

“Tren pembunuhan secara barbaric (kejam) sebagai langkah penyelesaian terhadap masalah lambakan anjing jalanan bukanlah satu tindakan sihat.

“Hanya pihak berkuasa yang disahkan melalui Lembaga Kebajikan Haiwan saja boleh melupuskan haiwan itu secara kemanusiaan iaitu ‘euthanize’ (menamatkan tempoh hayat).

“Malah jika nak bunuh anjing sakit sekalipun perlu diperakui oleh veterinar bertauliah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Arie berkata, mana-mana pihak sepatutnya tidak bertindak secara bersendirian jika haiwan itu mengganggu dan mengancam nyawa mereka.

“Kami minta mereka melaporkan kepada pihak berkuasa supaya anjing boleh ditempatkan di lokasi lain di bawah jagaan persatuan haiwan dan sebagainya.

“Jangan jadikan kelakuan pembunuhan begini sebagai budaya masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut difahamkan sehingga kini belum ada mana-mana saksi tampil melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

“Kami minta mereka yang mempunyai maklumat lengkap tampil kepada pihak berkuasa seperti polis atau Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia.

“Wang tunai RM1,000 juga turut ditawarkan kepada pihak yang menyalurkan maklumat lengkap kepada kami sehingga pelaku itu didakwa ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman.

“Sekiranya mereka takut untuk melaporkan kejadian itu, pihak kami boleh memberi khidmat nasihat dalam menyelesaikan perkara ini dan segala maklumat dirahsiakan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat berkenaan kejadian itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pihaknya di talian 011-20901097 (WhatsApp saja).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 11:05 PM