Faliq Lajim


“SAYA rasa ini tanggungjawab saya untuk menjaga kucing ini, selain takdir yang menentukannya” kata Ku Fauziah Ku Brahim, 53.

Dia yang lebih dikenali sebagai Kak Jie itu mempunyai empat kucing yang hanya mempunyai tiga kaki iaitu Alice, Beemo, Noor, dan Ofinn berusia antara dua hingga 5 tahun

Kak Jie berkata, dia mula membela kucing sejak enam tahun yang lalu, selepas anaknya semakin membesar selain suaminya yang sering bekerja luar.

“Sebelum ini, saya membela kucing normal iaitu Julie, namun, dia menghidap feline leukemia sebelum mati. Selepas itu, saya dipertemukan dengan Alice apabila terjumpa dalam keadaan cedera dan hilang satu kakinya di Jalan Klang Lama.

KAK Jie bersama empat kucing miliknya yang berkaki tiga. FOTO Ihsan Kujiecats
KAK Jie bersama empat kucing miliknya yang berkaki tiga. FOTO Ihsan Kujiecats

“Sejak itu, ada yang meminta saya untuk ambil kucing tiga kaki ini. Kebetulan, saya mempunyai masa yang terluang selain pengalaman menjaga Alice,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, dia menggunakan wang perbelanjaan bulanan yang diberikan suami bagi kos makan, rawatan serta pembedahan empat kucing miliknya itu.

Menceritakan mengenai penjagaan, dia banyak membuat penyelidikan sendiri melalui forum pencinta haiwan itu dari seluruh negara mengenai kucing berkaki tiga di Internet, selain mendapatkan pendapat daripada doktor veterinar.

“Kucing seperti ini tidak banyak kerenah berikutan pergerakan mereka terbatas, namun, kita kena tahu bagaimana cara menjaga kucing ini.

“Pada peringkat awal selepas saja menjalani operasi memang sukar berikutan luka di bahagian kaki itu memerlukan penjagaan rapi supaya tidak dijangkiti kuman.

 KUCING berkaki tiga bernama Noor. FOTO Ihsan Kujiecats
KUCING berkaki tiga bernama Noor. FOTO Ihsan Kujiecats

“Malah, kucing ini memerlukan diet yang seimbang. Berat mereka saya pantau setiap masa dan tidak boleh lebih dari lima kilogram berikutan ia boleh memberikan kesan kepada tulang belakang kucing,” kata ibu kepada tiga anak ini.

Sehingga kini, Instagram @kujiecats milik empat ekor kucing itu memiliki kira-kira 11,600 jumlah pengikut di laman sosial itu.

“Saya buat Instagram mereka hanya seronok-seronok saja. Kebetulan saya suka pula menangkap gambar yang mempunyai penceritaan, jadi saya kongsi di Instagram mereka.

“Ramai yang meminta saya untuk buat ulasan produk berkenaan produk kucing. Namun, saya tidak selesa dan tidak mahu menipu ‘followers’ berikutan tidak menggunakan produk itu,” katanya.

Malah, Kak Jie juga mendapat permintaan daripada individu untuk menjaga kucing bertiga kaki ini selepas menjalani pembedahan.

“Kadang-kadang kita faham kekangan kerja mereka dan tidak boleh memberi perhatian rapi kepada kucing seperti itu.

“Saya ambil ikut kesesuaian. Jika saya tidak sibuk saya akan menjaga mereka sehingga sembuh sebelum diserahkan kepada pemiliknya kembali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 2:48 PM
KUCING tiga kaki bernama Beemo. FOTO ihsan Kujiecats
KUCING tiga kaki bernama Beemo. FOTO ihsan Kujiecats