Raja Noraina Raja Rahim


MAJLIS Perbandaran Seremban (MPS) akan menyediakan kandang memuatkan 300 anjing yang bakal ditangkap majlis itu bagi menangani masalah anjing liar, khususnya di Taman Lavender Heights, Senawang.

Ia susulan isu berkaitan keresahan penduduk dengan masalah anjing liar di kawasan itu sehingga penduduk digemparkan penemuan tiga bangkai anjing liar dan seekor anjing peliharaan yang mati dipercayai diracun individu tidak bertanggungjawab, awal Januari lalu.

Isu itu mendapat perhatian pelbagai pihak dan memaksa penduduk taman berkenaan mengadakan dialog dengan polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi memberi maklumat mengenai perkara sebenar.

Ketika dimaklumkan mengenai pembinaan kandang anjing itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, beliau difahamkan satu sesi dialog antara MPS dan penduduk sudah diadakan bulan lalu berhubung masalah itu.

Khairy berkata, MPS memberi jaminan menyelesaikan masalah itu dengan membina kandang memuatkan 300 anjing, meskipun ia dikatakan masih tidak mencukupi.

Ini kerana, katanya, jumlah anjing liar yang terlalu tinggi di kawasan itu dan berkemungkinan langkah berkenaan tidak dapat menyelesaikan masalah bagi tempoh panjang.

Menurutnya, beliau menyedari pihak berkuasa tempatan turut berdepan kekangan undang-undang di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang menghalang penganiayaan dan bertindak kejam terhadap haiwan liar.

“Saya akan berjumpa MPS untuk tahu apa cadangan penyelesaian masalah ini. Saya juga tidak menolak apa yang dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memperjuangkan kebajikan haiwan dan saya akan jumpa mereka untuk dapatkan cadangan mereka juga.

“Selepas itu, mungkin saya akan bentang di Parlimen apa langkah terbaik sama ada akan tambah kandang dan mengawal populasi dengan cara tidak kejam dan tidak melanggar undang-undang,” katanya selepas mengadakan perbincangan dengan penduduk Taman Lavender Heights, Senawang, semalam.

Khairy ketika bertemu  penduduk Taman Lavender Heights, Senawang bagi menyelesaikan isu anjing liar di kawasan masjid dan perumahan penduduk. FOTO Hazreen Mohamad
Khairy ketika bertemu penduduk Taman Lavender Heights, Senawang bagi menyelesaikan isu anjing liar di kawasan masjid dan perumahan penduduk. FOTO Hazreen Mohamad

Sementara itu, Pengerusi Masjid Ibnu Khaldun, Taman Lavender Height, Mohd Asna Amin berkata, masalah anjing liar di kawasan perumahan itu masih berlarutan sehingga kini dengan puluhan haiwan itu dikesan berkeliaran di kawasan berkenaan.

Menurutnya, selepas sesi dialog bersama MPS diadakan pada bulan lalu, sebanyak enam operasi penangkapan sudah dilaksanakan MPS.

“Hanya dua ekor anjing liar yang dapat ditangkap dan penduduk masih diancam dengan kehadiran anjing liar. Kita berharap masalah ini dapat selesai dengan cara baik,” katanya.

Pada 7 Januari lalu Harian Metro melaporkan, Mohd Asna menafikan dia meracun anjing seperti tular di laman sosial Facebook sebaliknya dipercayai dilakukan penduduk taman yang hilang sabar dengan kesan yang timbul akibat banyak anjing liar di situ.

Difahamkan, perbuatan itu dilakukan dengan meletakkan racun tikus dalam makanan anjing bertujuan membunuh haiwan itu susulan penemuan bangkai empat anjing terbiar dan seekor yang mempunyai pemilik di dalam longkang taman perumahan itu.

Berita berkaitan

Polis henti siasat kes racun anjing

Maruah saya tercemar - Pengerusi masjid

Pengurusan masjid difitnah racun anjing

Anjing mati diracun

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 12:47 AM