PERSIDANGAN DUN Melaka di Dewan Undangan Negeri, Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad
PERSIDANGAN DUN Melaka di Dewan Undangan Negeri, Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad
Fhatihah Zakinan dan Amir Mamat

PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri Melaka, hari ini kecoh seketika apabila Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee menyebut ‘UMNO mati’ ketika menjawab soalan tambahan berkaitan pengurangan wang sara hidup nelayan.

Soalan yang dibangkitkan Gue Teck (PH-Klebang) itu dijawab ringkas oleh Norhizam dengan peribahasa iaitu manusia mati meninggalkan nama, harimau mati meninggalkan belang, UMNO mati meninggalkan hutang.

Susulan itu, berlaku pertikaman lidah antara wakil pembangkang dengan Norhizam (PH-Pengkalan Batu) yang berlarutan hampir 10 minit.

Gue Teck bertanyakan mengenai jumlah wang sara hidup nelayan dikurangkan RM100 daripada RM300 kepada RM200 sebulan.

Namun soalan itu dijawab ringkas Norhizam.

“Saya nak sebut di sini, manusia mati meninggalkan nama, harimau mati meninggalkan belang, UMNO mati meninggalkan hutang.

“Apabila hutang banyak, kita terpaksa kurangkan bayaran,” katanya.

Datuk Ghazale Muhamad (BN-Rim) lantas bangun dan menyatakan UMNO belum ‘mati’, sambil disusuli dengan beberapa lagi wakil pembangkang termasuk Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Md Rawi Mahmud (BN-Tanjung Bidara), Datuk Amirudin Yusof (BN-Ayer Limau), Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) dan Datuk Sulaiman Md Ali (BN-Lendu).

Ketika suasana hingar-bingar itu, Speaker, Datuk Wira Omar Jaafar mencelah dan mengarahkan semua ahli Dewan duduk sebelum menangguhkan persidangan kira-kira dua minit bagi menenangkan keadaan.

Pertikaman lidah hampir tercetus kembali selepas kembali bersidang ketika Norhizam menjawab soalan tambahan Datuk Dr Wong Fort Pin (PH-Bemban), namun berjaya dikawal Speaker.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 12:43 PM