ADLINAWARI minta hutang guna mikrofon. FOTO TikTok
ADLINAWARI minta hutang guna mikrofon. FOTO TikTok
Agensi

Jakarta: Minta hutang menggunakan mikrofon. Itu kaedah unik digunakan seorang pegawai koperasi di Indonesia bagi menagih hutang.

Video lelaki itu mendekati rumah seorang penduduk untuk menagih hutang tular di media sosial selepas dia memuat naik di akaun TikTok @adli_nawari, Khamis lalu.

Pemuda itu, Adlinawari,21, berkata, dia terpaksa menggunakan cara itu kerana pelanggannya kerap melarikan diri apabila diminta membayar hutang.

Katanya, pada hari kejadian dia ke rumah pelanggan itu bagi menagih hutang.

"Perkara ini tidak dirancang ia hanya spontan untuk memudahkan kerja saya memungut hutang.

"Kebetulan ketika saya sampai, ada penduduk sedang berkaraoke di kawasan itu.

"Saya mendapat idea meminjam mikrofon itu untuk memanggil pelanggan di dalam rumah kerana suara saya mungkin tidak didengarinya nanti," katanya kepada Tribunnews.

Video perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi termasuk ada yang menyifatkan pemuda itu kreatif dalam menagih hutang.

"Kreatif, tak perlu pakai suara yang kuat untuk tagih hutang cukup pakai mikrofon dan muat naik di TikTok.

"Hutang tetap hutang, ia harus dibayar," kata seorang pengguna maya.

Malah ada juga mempertikaikan cara pemuda itu kerana dianggap mengaibkan pelanggannya itu.

"Bangga sangat buat orang malu," kata seorang netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 3:41 PM