PERSIDANGAN DUN Negeri Melaka kecoh seketika apabila Norhizam (kiri) bertikam lidah dengan pembangkang di Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO RASUL AZLI SAMAD
PERSIDANGAN DUN Negeri Melaka kecoh seketika apabila Norhizam (kiri) bertikam lidah dengan pembangkang di Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO RASUL AZLI SAMAD
Amir Mamat


TINDAKAN Exco negeri, Norhizam Hassan Baktee yang menyentuh fizikal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, semalam, adalah tidak wajar dan sangat mengecewakan.

Ketua Pemuda UMNO Jasin, Dr Akmal Saleh berkata, ini kerana tindakan itu bertentangan semangat Malaysia Baharu dibawa Pakatan Harapan (PH) selain tidak memberi gambaran sebenar Melaka Berwibawa seperti dipromosikan kerajaan negeri.

“Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jasin mengecam sekeras-kerasnya perilaku Exco terbabit, sekali gus mengingatkan beliau supaya berkelakuan selari dengan jawatan dan kedudukannya sebagai wakil rakyat.

“Seluruh negara melihat perlakuannya menerusi video tular di media sosial dan ia sudah pasti memberi impak psikologi kepada rakyat negeri ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO negeri, meminta Norhizam supaya lebih bersopan ketika berbahas dan menggesa beliau memohon maaf secara peribadi kepada ADUN Serkam atas kenyataannya semalam.

“Jangan jadikan Dewan yang mulia itu sebagai pentas mempamerkan aksi ‘garang tidak bertempat’ dan kerendahan akhlak kerana ia memberi impak negatif bukan hanya kepada diri sendiri tetapi kepemimpinan negeri lain,” katanya.

Terdahulu, ketika sesi soal jawab semalam, berlaku pertikaman lidah antara Norhizam dengan pembangkang apabila beliau menyebut ‘UMNO mati’.

Zaidi yang bangun untuk membacakan peraturan Dewan, ditegur Norhizam dengan berkata ‘Saya dengar suara je orang saya tak nampaklah. Kalau nak baca buku (Peraturan Dewan) panjat kerusilah baru saya nampak’.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 9:30 PM