GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Recqueal Raimi


DUA beranak maut, manakala seorang lagi parah selepas Proton Iswara Aeroback dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Tamparuli-Ranau, Kampung Tomis Jaya, Tamparuli di Tuaran, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, mangsa, Julia Panikir, 42, yang duduk di tempat penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat parah di badan dan kepala.

Anak perempuan mangsa, Litalana Erna Stomon, 17, pula meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Ranau.

Seorang lagi anak lelaki keluarga itu, Nicholes Saputra Stomon, 11, terselamat namun dilaporkan parah dengan kecederaan serius di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, pemandu kenderaan itu, Stomon Nasir, 46, yang berasal dari Kampung Kiau Bersatu, Kota Belud, bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.

Katanya, siasatan awal mendapati Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 36 tahun bersama lima penumpang berusia lapan sehingga 59 tahun bergerak dari arah Kota Kinabalu menghala Ranau.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, kenderaan pacuan empat roda itu bertembung dengan kereta dinaiki mangsa sekeluarga dari arah bertentangan.”

“Pemandu Toyota Hilux dan penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.41 pagi.

Katanya, sebuah jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama empat anggota dikerah ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan segera.

“Sebaik tiba, pihak bomba mendapati empat mangsa yang menaiki Proton Iswara sudah dikeluarkan orang awam.

“Anggota bomba kemudiannya menghantar kanak-kanak yang parah ke Hospital Tuaran, manakala mangsa lain dihantar pasukan perubatan menggunakan ambulans ke Hospital Ranau,” katanya sambil menambah operasi tamat sepenuhnya pada 11.40 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 8:03 PM