Kemalangan yang mengorbankan penuntut Maktab Perguruan Kent, Tuaran, petang semalam. FOTO Recqueal Raimi
Kemalangan yang mengorbankan penuntut Maktab Perguruan Kent, Tuaran, petang semalam. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi

 

Kota Belud: Penuntut Maktab Perguruan Kent, Tuaran, maut manakala tiga lagi rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam gaung sedalam lima meter di Kampung Lontigi, Jalan Kota Belud - Tuaran, 6 petang semalam.

Mangsa Leroy Simon, 22, yang duduk di hadapan penumpang kereta Proton Iswara Aeroback disahkan meninggal dunia jam 10.30 malam tadi di Hospital Kota Belud.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati Proton Iswara Aeroback dinaiki empat lelaki itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke gaung sedalam lima meter sebelum melanggar sebatang pokok.

"Penumpang hadapan yang parah manakala pemandu serta dua lagi penumpang di bahagian belakang hanya cedera ringan dan semua mereka dihantar ke Hospital Kota Belud untuk rawatan lanjut.

"Leroy yang parah bagaimanapun disahkan meninggal dunia jam 10.30 malam tadi," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud turut dikejarkan ke lokasi kemalangan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 1:57 PM