ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa tersepit dalam Perodua Kancil yang terbabas di parit di Kampung Narinang, Kota Belud. FOTO/IHSAN BOMBA
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa tersepit dalam Perodua Kancil yang terbabas di parit di Kampung Narinang, Kota Belud. FOTO/IHSAN BOMBA
Recqueal Raimi


LELAKI maut akibat tersepit dalam Perodua Kancil dipandunya yang terbabas ke dalam parit berhampiran Kampung Narinang, Kota Belud, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Francis James Sanir, 38, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud, Rozlan Osman berkata, sebaik menerima panggilan pada 4.02 petang, sembilan anggota serta sebuah jentera dihantar ke lokasi kejadian sejauh 21 kilometer (km).

Katanya, sebaik tiba, pasukan bomba mendapati tangan kiri mangsa tersepit di bahagian pemandu dan mengalami pendarahan di bahagian kepala.

"Anggota bomba seterusnya mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Difahamkan, mangsa dibawa ke Hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Rozlan berkata, pasukan bomba menamatkan operasi pada 4.50 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 2:05 PM