FOTO hiasan
FOTO hiasan
BERNAMA

MALAYSIA Airlines (MAS) menjelaskan senarai kadar tambahan bayaran bagasi oleh syarikat penerbangan itu yang tular dalam media sosial adalah tidak betul.

MAS dalam satu kenyataan, hari ini, berkata kadar bagasi tambahan (prabayar) masih berlandaskan kepada tanda aras industri dan berdaya saing dengan apa yang ditawarkan syarikat penerbangan lain.

“Terdapat dua jenis kadar bagasi, satu untuk bagasi tambahan (prabayar) dan satu lagi untuk bagasi berlebihan. Bagi bagasi berlebihan yang dibayar semasa daftar masuk di lapangan terbang, kadarnya tetap sama.

“Kadar bagasi tambahan (prabayar) adalah dinamik bergantung kepada sektor, promosi, permintaan dan sebagainya. Penumpang bagaimanapun dapat mengetahui kadar dikenakan sebaik tempahan melalui ‘my booking’ atau ketika aliran tempahan,” katanya.

Pada masa ini, senarai caj tambahan bayaran bagasi untuk Ekonomi Lite untuk MAS tanpa sebarang elaun bagasi tular menerusi media sosial.

MAS menasihatkan penumpang untuk klik pada pautan https://mhcare.malaysiaairlines.com/faq/s/article/Excess-Baggage-What-is..., untuk melihat struktur yang sah.

Terdahulu, bermula 8 April lalu, penumpang yang melakukan perjalanan dalam kelas ekonomi MAS dapat memilih kombinasi tambang dan perkhidmatan yang sesuai.

Ia membabitkan beberapa keistimewaan termasuk elaun bagasi dan pilihan lain yang membolehkan penumpang membayar apa yang mereka perlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 10:35 AM