LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menegaskan pemeriksaan bagasi berdaftar berstatus 'check-in baggage' adalah di bawah tanggungjawab syarikat penerbangan.

JKDM dalam satu kenyataan memaklumkan, ia juga diimbas oleh mesin pengimbas bagasi di bahagian 'in-line baggage screening' di bawah kawalan dan seliaan sepenuhnya oleh Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB)(AVSEC).

Katanya, kawalan itu bagi memastikan keselamatan pesawat, kawasan lapangan terbang dan penerbangan yang mana lebih tertumpu kepada barangan berbahaya dan berisiko seperti senjata api, bom, peluru dan sebagainya.

"Pengimbasan dan pemantauan imej semua bagasi dilakukan sepenuhnya oleh Polis Bantuan MAHB, KLIA yang bertugas dan hasil pemeriksaan akan disalurkan kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan.

"Dalam kes ini, bagasi yang diseludup keluar adalah berstatus 'check-in baggage' yang mana bagasi diterima oleh pihak syarikat penerbangan dan di bawah kawalan sepenuhnya oleh AVSEC," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, JKDM dan MAHB sedang dalam cadangan pelaksanaan pemeriksaan secara berpusat terhadap penumpang penerbangan antarabangsa yang akan dijalankan di KLIA Terminal 2, Sepang.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas laporan sebuah agensi berita mengenai kes rampasan 22 ular yang ditemui dalam bagasi berdaftar 'check-in baggage' di Lapangan Terbang Chennai, India melalui penerbangan Airasia dari Kuala Lumpur pada Jumaat, 29 April lalu.

Katanya, Penggunaan mesin pengimbas kastam di Cawangan Pemeriksaan Penumpang semasa ketibaan untuk mengimbas bagasi penumpang dan beg 'hand carry baggage' bagi mengesan barangan berduti, bercukai, larangan secara cekap dan berkesan serta mencegah semua aktiviti penyelewengan dan penyeludupan.

"Pegawai Kastam akan mengarahkan penumpang mengikrarkan barang milikannya dan mengimbas setiap bagasi dan beg 'hand carry baggage' yang dibawa di kaunter Pemeriksaan Kastam seperti peruntukan di bawah Seksyen 103, Akta Kastam 1967," katanya.

Katanya, di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA Terminal 2 dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS) bagasi penumpang yang berstatus 'check-in baggage' perlu didaftarkan di kaunter 'check-in bag' di mesin pengimbas milik MAHB sebelum penumpang melalui kawasan pemeriksaan Imigresen dan Kastam.

"Apabila penumpang melalui kawasan pemeriksaan Kastam, hanya bagasi atau beg yang diikrar sebagai 'hand carry baggage' sahaja yang akan diperiksa oleh pegawai JKDM," katanya.

Selain itu, katanya, pemeriksaan ke atas bagasi penumpang semasa ketibaan atau sebelum pelepasan hendaklah mengikut prosedur yang ditetapkan dan pemeriksaan bagasi penumpang berdasarkan penilaian risiko bagi tujuan mengenalpasti barang seperti dadah, larangan mutlak, Larangan Bersyarat, barangan bawah Akta Perdagangan Strategik 2010, barang Berduti dan Bercukai dan mata wang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 11:58 AM