Kuala Lumpur: Malaysia Airlines (MAS) mengumumkan semakan semula struktur yuran bagasi berlebihan syarikat penerbangan itu berkuat kuasa pada 22 April ini.

Kadar serantau bagi setiap blok sebanyak 5 kilogram (kg) sebelum ini akan diganti dengan struktur yuran mengikut zon dengan kadar 3kg bagi setiap blok untuk perjalanan dengan setiap penerbangan MAS, domestik serta antarabangsa.

Kadar bagasi berlebihan itu dikira berdasarkan zon, bergantung kepada jarak penerbangan dalam satu-satu jadual.

“Bayaran akan dikira pada setiap bagasi berlebihan sebanyak 3kg selepas had Elaun Bagasi Percuma, bukan mengikut blok 5kg sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurut laman web MAS, kadar tetap bagi setiap blok 5kg berbeza-beza mengikut zon bermula daripada RM55 hingga RM195.

MAS sekarang ini membenarkan dua bagasi 50kg bagi Kelas Pertama, 40kg untuk Kelas Bisnes dan 30kg dalam kelas ekonomi. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 1:14 PM