FOTO hiasan
FOTO hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Kampung Acheh merampas 408 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM70,477 dipercayai hasil penyeludupan dalam serbuan di dua kedai runcit di jalan Kampung Sitiawan, Sitiawan, semalam.

Dalam serbuan jam 12.30 dan 12.45 tengah hari, PPM merampas masing-masing 58 karton serta 350 karton rokok seludup di dua kedai berkenaan.

Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki warga tempatan berusia 59 dan 37 tahun.

Katanya, operasi membabitkan seorang pegawai dan tujuh anggota dijalankan selepas menerima maklumat awam.

“Serbuan pertama dilakukan di sebuah kedai runcit di Jalan Kampung Sitiawan dan susulan maklumat diperolehi, serbuan kedua dilakukan di sebuah lagi kedai runcit berhampiran.

“Ketika serbuan, PPM menemui sejumlah kotak berisi pelbagai jenis rokok disimpan dalam stor dan laci kaunter bayaran di kedai berkenaan,” katanya dalam kenyataannya.

Rosman berkata, rokok itu dipercayai untuk dijual kepada penduduk sekitar dan hasil siasatan awal, pihaknya percaya rokok berkenaan diseludup dari negara jiran.

Katanya, dua suspek ditahan bersama barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kampung Acheh untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(v) (aa) akta sama.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, PPM akan memerangi jenayah penyeludupan terutama pengedaran atau penjualan rokok tidak sah yang secara tidak langsung merugikan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 8:43 AM