ANTARA rokok yang dirampas. FOTO ihsan PPM
ANTARA rokok yang dirampas. FOTO ihsan PPM
Siraj Mohd Zaini


Pelabuhan Klang: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 1,156 karton rokok putih dan 50 karton rokok kretek bernilai lebih RM249,000 di perairan Pantai Acheh Pelabuhan Klang, tengah malam tadi.

Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, dalam kejadian 12.35 tengah malam itu, Unit Risikan PPM mengesan sampan di pantai yang melakukan kegiatan pemunggahan barang.

Menurutnya, selepas menyedari kehadiran bot PPM, sampan terbabit memecut ke arah laut manakala beberapa orang didapati melarikan diri ke kawasan pantai dengan menggunakan beberapa kenderaan.

"Hasil pemeriksaan di kawasan pemunggahan menjumpai puluhan kotak rokok yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

"Tiada tangkapan dibuat kerana semua suspek gagal dikesan berikutan persekitaran yang gelap," katanya.

Ahmad Shafiki berkata, bungkusan terbabit dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 6:38 PM