ANGGOTA polis trafik membuat pemeriksaan ke atas penunggang motosikal.
ANGGOTA polis trafik membuat pemeriksaan ke atas penunggang motosikal.
Fazrik Kamarudin

Kuala Lumpur: Tidak tahu ia satu kesalahan, mahu menjadikan kenderaan kelihatan cantik serta unik dan ramai pemilik kenderaan lain menggunakan stail sama.

Itu antara alasan diberikan pesalah trafik yang ditahan kerana menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi atau fancy.

Remaja lelaki berusia 18 tahun hanya dikenali sebagai Amir berkata, dia menggunakan nombor pendaftaran fancy kerana menyangka ia bukan satu kesalahan.

“Saya lihat ramai yang buat, saya tidak tahu ia adalah salah, saya mahu motosikal nampak cantik,” katanya ketika ditemui dalam operasi bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di kawasan selepas Plaza Tol Air Panas, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), di sini, semalam.

Selain remaja itu, seramai 18 individu turut disaman atas kesalahan sama.

Kesalahan menggunakan nombor pendaftaran fancy adalah paling banyak dikesan dalam operasi itu.

Majoriti yang ditahan adalah kenderaan mewah seperti kereta dan motosikal berkuasa tinggi.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, selain kesalahan menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, masih ada lagi pengguna jalan raya tidak memperbaharui lesen memandu.

“Jumlah keseluruhan saman dikeluarkan dalam operasi ini adalah 56 saman atas pelbagai kesalahan, manakala 231 keping saman 170 (A) dikeluarkan atas kesalahan had laju.

“Daripada jumlah itu, kita kesan seramai 11 individu memiliki lesen memandu tamat tempoh, 19 saman kerana menggunakan nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi.

“Kesalahan lain adalah tidak memiliki nombor pendaftaran, lesen kenderaan perdagangan tamat tempoh dan tiada cermin sisi. Semua saman kita keluarkan serta-merta kepada pesalah trafik terbabit,” katanya.

Zulkefly berkata, selain saman oleh anggota polis trafik, pihak JPJ mengeluarkan sebanyak lima notis P22 dan enam notis 61 (1) iaitu notis arah untuk periksa kenderaan.

“Kami juga cuba mengesan pengguna jalan raya yang disyaki terbabit menggunakan dadah, seramai 11 individu diperiksa oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) dari Sentul.

“Manakala, dua remaja dibawa untuk diuji air kencing mereka yang kemudian didapati negatif.

“Operasi bermula jam 11 pagi hingga jam 12.45 tengah hari disertai tiga pegawai dan 22 anggota JSPT Kuala Lumpur, JPJ dan BSJN Sentul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 11:33 AM