Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid.
Sri Ayu Kartika Amri dan Nurul Hidayah Bahaudin


PENGGUNAAN nombor dan huruf yang disusun tidak mengikut spesifikasi atau lebih dikenali sebagai fancy hingga menimbulkan interpretasi menjadi perkataan tertentu.

Itu antara faktor yang dilihat menyebabkan wujud penggunaan nombor pendaftaran fancy terutama membabitkan motosikal dengan pelbagai jenis pengubahsuaian dilakukan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, ada beberapa nombor yang disusun boleh membentuk pelbagai perkataan seperti BOSS (8055) dan lain-lain.

"Pembentukan perkataan ini menjadikan nombor pendaftaran itu membawa makna tertentu dan faktor itu yang mendorong menjadi tarikan bagi pihak tertentu untuk menjadikan ia fancy.

"Namun, ia pada masa sama mengelirukan bagi pihak lain termasuk pihak berkuasa untuk membacanya kerana bentuk huruf mahupun nombor sudah diubah suai.

"Malah, pengubahsuaian itu juga boleh menyukarkan pihak berkuasa mengesan nombor pendaftaran kenderaan sekiranya ia digunakan untuk kegiatan jenayah jika nombor dan huruf pada plat terlalu kecil," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kementerian Pengangkutan di sini.

Shaharuddin berkata, sebanyak 17,138 notis dikeluarkan JPJ membabitkan kesalahan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi bagi tempoh Januari hingga Mei lalu.

Katanya, jumlah itu boleh dikatakan agak tinggi dan dijangka meningkat berbanding 18,937 notis direkodkan sepanjang tahun lalu bagi kesalahan berkenaan.

"Untuk kesalahan ini, pihak JPJ akan mengeluarkan notis arah periksa kenderaan serta notis PG 1 iaitu keterangan berhubung kesalahan teknikal yang dilakukan.

INFOGRAFIK
INFOGRAFIK

"Pemandu atau pemilik perlu membawa kenderaan mereka ke mana-mana cawangan JPJ untuk pemeriksaan selepas menukar nombor pendaftaran yang mengikut spesifikasi ditetapkan selain notis saman (JPJ P22) juga boleh dikenakan.

"Bagi rekod tempoh lima tahun lalu, sebanyak 111,203 notis membabitkan kesalahan berkenaan dikeluarkan sejak 2016 sehingga Mei 2020," katanya.

Menurutnya, setakat ini, tiada peruntukan undang-undang khusus bagi pihak JPJ melaksanakan tindakan terhadap mana-mana kedai yang membuat perkhidmatan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi.

"Bagaimanapun, perkara ini adalah menjadi tanggungjawab kepada pemandu dan pemilik kenderaan supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan.

"Berikutan itu, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan bagi kesalahan ini akan dikenakan terhadap pemandu dan pemilik kenderaan mengikut Kaedah 6, Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pendaftaran dan Perlesenan) 1959 selain boleh dikompaun maksimum RM300," katanya.

Beliau turut meminta orang awam yang melihat kenderaan menggunakan nombor kenderaan tidak mengikut spesifikasi dan mengelirukan untuk membuat aduan kepada pihak JPJ.

"Orang awam hanya perlu menangkap gambar kenderaan terbabit berserta nombor pendaftarannya dan hantar ke e-mel aduan JPJ, [email protected].

"Pemilik atau pemandu diminta sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan bagi memudahkan orang ramai mahupun pihak berkuasa mengenal pasti identiti kenderaan sekiranya berlaku perkara tidak diingini seperti kemalangan serta jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 8:01 AM