Antara pemilik motosikal yang membuka semula ekzos yang mengeluarkan bunyi bising.
Antara pemilik motosikal yang membuka semula ekzos yang mengeluarkan bunyi bising.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Polis mengeluarkan 342 saman terhadap kesalahan mengubah suai ekzos kenderaan sepanjang 17 hari operasi khas dilaksanakan di seluruh Sarawak.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, motosikal mencatat jumlah tertinggi dengan 212 saman, kereta 122 saman manakala lapan lagi saman membabitkan lain-lain kenderaan.

Beliau berkata, sehingga semalam, polis melaksanakan 220 operasi di seluruh negeri dan sebanyak 8,786 kenderaan diperiksa.

"Ia membabitkan sebanyak 3,089 motosikal, 3,091 kereta dan 2,606 lain-lain kenderaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Operasi khas yang bermula 1 Mac lalu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Selain itu, Alexson berkata, pihaknya juga mengeluarkan saman terhadap kesalahan lain sepanjang operasi itu.

"Sebanyak 1,739 saman dikeluarkan antaranya kesalahan plat nombor kenderaan tidak mengikut peraturan sebanyak 210 saman, plat kenderaan fancy sebanyak 193 dan mengubah suai struktur kenderaan sebanyak 276.

"Polis turut menyita 58 motosikal dan sebuah kereta untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 5:20 PM