JSPT Bukit Aman mengeluarkan 146 saman kepada anggota polis dalam Op Khas (Pemeriksaan Kenderaan). FOTO Ihsan PDRM
JSPT Bukit Aman mengeluarkan 146 saman kepada anggota polis dalam Op Khas (Pemeriksaan Kenderaan). FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mengeluarkan 146 saman kepada anggota polis dalam Op Khas (Pemeriksaan Kenderaan) secara mengejut di pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, sebanyak 280 kenderaan diperiksa dan mengeluarkan 146 jumlah saman atas pelbagai kesalahan seperti nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi (fancy), tiada cermin sisi, tiada cukai jalan serta ubah suai ekzos.

Menurutnya, operasi bermula 7 pagi itu berikutan isu tindakan penguatkuasaan 'terpilih' polis yang kerap diperkatakan masyarakat mempertikaikan operasi dan tindakan saman dilaksanakan oleh JSPT ke atas pesalah lalu lintas hanya membabitkan orang awam semata-mata.

"Operasi membabitkan seramai 15 pegawai dan 35 anggota JSPT yang mana Op kali ini disertai lima pegawai Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) serta seorang pegawai dan empat anggota dari Jabatan Alam Sekitar (Jas).

"JSPT ingin menegaskan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan adalah secara menyeluruh dan pegawai, anggota dan pegawai awam di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga tidak terkecuali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JSPT Bukit Aman menjalankan Op Khas (Pemeriksaan Kenderaan) secara mengejut di pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Ihsan PDRM
JSPT Bukit Aman menjalankan Op Khas (Pemeriksaan Kenderaan) secara mengejut di pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Ihsan PDRM

Mohd Nadzri berkata, objektif utama operasi pemeriksaan mengejut diadakan di pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman adalah untuk memeriksa kenderaan yang digunakan oleh warga kerja PDRM yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya terutama pada mereka yang mengubahsuai kenderaan dan menggunakan nombor pendaftaran fancy.

"PDRM kekal tegas dalam memastikan pegawai dan anggotanya supaya sentiasa patuh dan mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya supaya dapat menjadi teladan kepada masyarakat amnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 3:20 PM