Iskandar Shah Mohamed


KEGIATAN syarikat yang menjual doh roti canai dan capati tanpa logo halal sah sejak sembilan bulan lalu tumpas apabila premis itu diserbu pihak berkuasa di Setia Alam, Shah Alam, kelmarin.

Difahamkan, syarikat diusahakan lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an itu menggunakan logo halal pada kotak pembungkusan sedangkan tidak pernah memohon sijil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Bebola doh itu dipercayai diproses menggunakan mesin di kedai sama sebelum dibungkus dan diedarkan di pasaran sekitar Selangor.

Roti canai itu dijual dengan harga RM20 sekotak dan mengandungi 100 doh, manakala RM10 (30 doh) bagi capati.

Kegiatan itu bagaimanapun berjaya dihidu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menyerbu premis satu tingkat itu, kira-kira 10 pagi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Azman Adam berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam mengenai penggunaan logo halal tanpa kebenaran pada pembungkusan produk syarikat itu.

“Ketika serbuan, kami mendapati lapan pekerja warga asing berada di dalam premis itu dan menemui sebanyak 1,772 kotak kosong pembungkusan doh roti canai dan capati yang tertera logo halal JAKIM.

“Ia turut membabitkan penemuan sebanyak 60 kotak berisi 6,000 doh roti canai dan 12 kotak berisi 360 doh capati yang semuanya dianggarkan bernilai RM3,063,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Wan Najmiah Wan Mohamad Ali.

Kata Azman, semua barangan itu dirampas mengikut Perintah 4 (1) Perintah Perihal Dagangan 2011 (Perakuan & Penandaan Halal) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Kita turut merekodkan keterangan lelaki yang juga pemilik syarikat itu bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Wan Najmiah berkata, pihaknya setakat ini mengesan sebanyak 16 syarikat yang melakukan kesalahan penggunaan logo halal tidak sah di negeri ini sejak 2015.

“Lazimnya, selepas menerima aduan dan maklumat awam, kita akan memeriksa status logo digunakan syarikat itu sama ada dimohon daripada JAKIM atau sebaliknya,” katanya memaklumkan akan terus bekerjasama dengan KPDNHEP bagi memastikan perkara itu dipatuhi peniaga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 5:53 PM
SYARIKAT menjual doh roti canai dan capati menggunakan kotak tertera logo halal sedangkan tidak pernah memohon sijil itu daripada Jakim. FOTO Faiz Anuar
SYARIKAT menjual doh roti canai dan capati menggunakan kotak tertera logo halal sedangkan tidak pernah memohon sijil itu daripada Jakim. FOTO Faiz Anuar