SEPASUKAN pegawai dan anggota KPDNHEP cawangan Tanah Merah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) menyerbu sebuah premis menjual daging perap kerana menggunakan logo halal tanpa kelulusan. FOTO Ihsan KPDNHEPhsan KPDNHEP
SEPASUKAN pegawai dan anggota KPDNHEP cawangan Tanah Merah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) menyerbu sebuah premis menjual daging perap kerana menggunakan logo halal tanpa kelulusan. FOTO Ihsan KPDNHEPhsan KPDNHEP
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), hari ini menyerbu sebuah premis menjual daging kambing perap di Jalan Kelewek, Tanah Merah yang didakwa menggunakan logo halal tanpa kelulusan.

Serbuan yang dilakukan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) pada 11 pagi itu turut menyita kesemua produk makanan, plastik pembungkusan dan gegantung yang mempunyai logo halal Jakim membabitkan nilai lebih RM1,000.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Daerah Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata, serbuan itu dilakukan hasil maklumat awam yang meragui penggunaan logo halal pada produk jualan.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis ini menggunakan logo halal Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) pada bungkusan daging kambing perap keluaran mereka yang tidak diperakui halal oleh badan berwibawa iaitu Jakim.

"Premis berkenaan menjual barangan runcit termasuk daging perap yang dibuat sendiri.

"Tindakan diambil kerana bertentangan dengan Perenggan 4(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 yang menjadi suatu kesalahan di bawah Perenggan 8(b) Perintah yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,00.00 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua, denda RM250,000.00 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 3:57 PM