FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nur Lela Zulkipli


JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) mengesan masih terdapat banyak kedai minuman ‘bubble tea’ menggunakan bahan tanpa sijil halal.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Wan Najmiah Wan Mohamad Ali berkata, kebanyakan bahan untuk membuat minuman itu diimport dari Taiwan dan pemeriksaan pihaknya mendapati ia tidak mempunyai logo halal.

Justeru, beliau memaklumkan pihaknya giat memantau premis berkenaan susulan tindakan mereka mengelirukan pengguna khususnya beragama Islam.

“Pengguna kebanyakannya terpengaruh dengan persekitaran premis bersih, malah ada menggunakan tenaga pekerja wanita Islam bertudung bagi mengaburi mata pembeli.

“Apabila minuman ‘bubble tea’ itu tular, orang ramai tidak berfikir panjang dan sanggup beratur panjang untuk mendapatkan minuman berkenaan.

“Mereka tidak selidik terlebih dahulu sama ada premis berkenaan mempunyai sijil halal atau sebaliknya,” katanya kepada Harian Metro di Shah Alam, hari ini.

Pada masa sama, Wan Najmiah berkata, setakat ini hanya Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) saja menunjukkan keprihatinan berhubung perkara berkenaan dengan berjumpa pemilik dan pengusaha premis menjual minuman berkenaan.

“MPSJ baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan pengusaha premis berhubung pemilikan sijil halal.

“Ia adalah inisiatif patut dipuji kerana saya dimaklumkan MPSJ menyedari terdapat premis menjual minuman bubble tea yang laris di kawasan mereka.

“MPSJ turut prihatin dengan situasi orang Islam dengan menggalakkan pengusaha memiliki sijil halal dalam perniagaan makanan dan minuman masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, JAIS mendapati ada antara pengusaha mengiklankan minuman mereka dengan perkataan mengelirukan seperti mereka menggunakan bahan halal walaupun tidak mempunyai sijil halal.

“Tindakan pengusaha mempamerkan sijil halal luar negara pada premis masing-masing adalah salah kerana ia bukan sijil dari Malaysia.

“Oleh itu, kami menggalakkan pelanggan untuk membuat aduan sekiranya berlaku hal sedemikian kerana penggunaan perkataan halal sewenang-wenangnya adalah salah,” katanya.

Wan Najmiah berkata, setakat ini antara minuman bubble tea mempunyai sijil halal adalah Tealive, CoolBlog dan Chatime sementara majoriti pengusaha ‘bubble tea’ yang lain masih gagal mengemukakan permohonan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 2:17 PM