PEGAWAI Jakim melakukan rampasan terhadap produk makanan kesihatan yang menggunakan logo halal  palsu Jakim di sebuah kilang di Puchong.
PEGAWAI Jakim melakukan rampasan terhadap produk makanan kesihatan yang menggunakan logo halal palsu Jakim di sebuah kilang di Puchong.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Puchong: Untung berlipat kali ganda diperoleh dengan menipu pengguna Islam. Itu dilakukan seorang pemilik kilang yang dikesan aktif mengedarkan produk makanan kesihatan menggunakan logo halal ‘ciplak’ Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Lelaki berusia 50-an itu dikesan sewenang-wenang menampal logo halal palsu pada empat jenama produk dipasarkan tanpa pernah melakukan permohonan pensijilan halal dari Jakim.

Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar selepas sepasukan pegawai Jakim menyerbu premis itu yang terletak di kawasan Perindustrian Puchong di sini, jam 11 pagi semalam.

Jurucakap Jakim berkata, serbuan dilakukan susulan maklumat diperolehi Jakim dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung penjualan produk tidak berdaftar dan menggunakan logo halal Jakim palsu itu.

Menurutnya, dalam serbuan itu, Jakim melakukan pemeriksaan terhadap dua premis yang dijadikan kilang dan stor pembungkusan produk makanan kesihatan itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati empat jenis produk dikesan menggunakan logo halal Jakim palsu pada kotak pembungkusan.

“Malah pengilang cuba menipu pengguna dengan meletakkan logo Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) bagi setiap produk dipasarkan melalui jualan langsung itu,” katanya.

Menurutnya, kilang haram itu yang tidak mempunyai GMP dikesan menggunakan khidmat enam wanita warga Indonesia di premis itu.

“Susulan itu Jakim merampas beribu kotak produk makanan kesihatan yang bernilai RM400,000 dari kilang itu.

“Pemilik kilang itu cuba berdolak dalih dengan mendakwa produk itu luput tarikh dan tidak lagi dipasarkan,” katanya.

Menurutnya, Jakim bagaimanapun merampas semua produk itu selepas siasatan mendapati ia baru dikilangkan dan menunggu masa diserahkan kepada pengedar.

“Tindakan boleh diambil mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. Ini termasuk denda maksimum RM5 juta ke atas syarikat itu atau denda minimum RM1 juta atau hukuman penjara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 9:47 PM