MYKAD. FOTO Arkib NSTP
MYKAD. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

HANYA kerana mahu mengelak membayar denda, seorang lelaki membuat laporan polis palsu yang mendakwa kononnya dia disamun tiga lelaki di Subang Jaya, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pihaknya menerima laporan dibuat lelaki berusia 40-an berkenaan di Balai Polis Bukit Puchong.

“Berdasarkan laporan dibuat suspek, dia memberitahu dirinya disamun tiga lelaki menaiki motosikal ketika berada di lokasi kejadian yang terletak berhampiran kedai dobi, pada 4.23 petang.

“Akibat kejadian itu, suspek mendakwa kehilangan kad pengenalan, kad bank, kad Touch & Go, dan wang tunai sebanyak RM450,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohammad Azlin berkata, siasatan dilakukan pihaknya mendapati kejadian samun itu tidak berlaku seperti didakwa lelaki berkenaan.

“Semakan mendapati suspek yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran berkenaan sudah membuat laporan polis mengenai kehilangan kad pengenalan sebanyak lima kali iaitu tiga kali dikatakan tercicir, manakala dua kali lagi mendakwa disamun.

“Suspek mengaku membuat laporan polis palsu kerana mahu mengelak bayaran denda daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan kad pengenalan,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

“Walaupun kes sebegini kerap kali diingatkan dan diberi amaran melalui laporan media, namun masih ada individu tidak bertanggungjawab bertindak sedemikian.

“Amaran kepada orang ramai, jangan hanya kerana mahu mengelak denda mereka sanggup membuat laporan palsu.

“Padah lebih buruk iaitu hukuman lebih berat dan sabitan mahkamah yang dikenakan adalah kekal dalam rekod jenayah kepada individu didapati bersalah melakukan kesalahan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 10:35 AM