GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Tindakan seorang lelaki membuat laporan palsu konon disamun bagi mengelak membayar denda membuat Mykad mengundang padah apabila ditahan polis hari ini.

Difahamkan, sebelum ini suspek sudah membuat laporan berhubung kehilangan Mykad sebanyak dua kali.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 20 tahun itu ditahan sepasukan Task Force Balai Polis Ampang yang diketuai Ketua Polis Balai Ampang Inspektor Mohammad Fareez Izzuan Mohd Fazel.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati kejadian jenayah itu tidak berlaku dan individu berkenaan mengaku membuat laporan palsu kerana tidak mahu membayar denda bagi mendapatkan kad pengenalan gantian di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Kejadian sebenar adalah kad pengenalan miliknya tercicir dalam simpanan.

"Ujian saringan air kencing juga dijalankan dan mendapati dia positif dadah Opiate dan Benzo," katanya kepada Harian Metro malam ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/182 KK dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 10:23 PM