FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Melvin Joni


Kuching: Seorang lelaki terdesak membuat laporan polis palsu mengatakan dirinya disamun bagi mengelak didenda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan kad pengenalan, MyKad.

Perbuatan suspek berusia 46 tahun itu bagaimanapun terbongkar selepas siasatan lanjut dijalankan pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata, suspek membuat laporan polis mendakwa disamun dua lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal sekitar 12.30 tengah malam Selasa lalu di belakang sebuah restoran di Jalan Rock, di sini.

Beliau berkata, akibat disamun, suspek mengalami kecederaan dan turut kehilangan wang tunai serta kad pengenalan, kad pengeluaran wang automatik (ATM) pelbagai jenis bank, kunci rumah dan kedai.

"Hasil siasatan, polis mengenal pasti punca kecederaan sebenarnya bukanlah akibat disamun, sebaliknya disebabkan perselisihan faham suspek bersama rakan sekerjanya ketika mabuk selepas pulang kerja pada hari sama (Selasa lalu) sehingga kehilangan barang peribadinya.

"Motif suspek membuat laporan polis palsu adalah untuk mengelakkan daripada didenda JPN kerana sudah kali ketiga dia kehilangan kad pengenalan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Merbin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 2:45 PM