GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


MAHU elak daripada didenda kerana hilang kad pengenalan, seorang remaja lelaki sanggup membuat laporan palsu mendakwa dia diragut di Sitiawan, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung Deputi Superintendan Chong Boo Khim berkata, lelaki berusia 18 tahun itu membuat laporan berkenaan pada 12.15 tengah malam.

Menurutnya, dia mendakwa diragut ketika balik dari kedai makan yang menyebabkan beberapa dokumen peribadi termasuk kad pengenalan dan wang tunai hilang.

"Susulan itu, polis menjalankan siasatan terhadap dakwaannya itu namun mendapati terdapat beberapa keraguan sebelum remaja itu mengaku membuat laporan dengan cerita yang tidak benar.

"Remaja itu memberi alasan mahu mengelak daripada dikenakan denda kerana kehilangan kad pengenalannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Boo Khim berkata, remaja itu disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana sengaja membuat laporan palsu.

Katanya, dia boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 7:54 PM