SUSUN atur perabot seperti berada di sebuah muzium.
SUSUN atur perabot seperti berada di sebuah muzium.
Muhamaad Razis Ismail


BAGAIKAN berada di sebuah muzium. Demikian gambaran yang boleh penulis berikan sebaik melangkah masuk ke kediaman Azmin Aziz, 57, di Shah Alam, Selangor.

Terdapat sebuah gong besar yang ditempatkan di luar pintu pagar rumah yang berkeluasan 24,000 kaki persegi itu.

Pada mulanya, penulis menyangka ia sekadar hiasan, namun sebenarnya gong itu berfungsi sebagai loceng rumah.

Menurut bekas pegawai di bahagian peruncitan itu, kisah di sebalik penggunaan gong itu bermula apabila loceng di rumahnya rosak.

"Apabila diperiksa kos membaikinya sangat tinggi. Jadi saya ambil keputusan gunakan gong yang dibeli dari Indonesia ini menggantikan loceng sedia ada yang rosak," katanya.

Gong itu adalah antara ratusan barangan antik yang dikumpul Azmin dan arwah bapanya, Tan Sri Abdul Aziz Zakaria sejak puluhan tahun.

Lebih menarik, hampir semua barangan antik ini dijadikan hiasan untuk menghias rumah

yang dibina pada 1986 itu.

Barang antik ini bukan sahaja diperoleh daripada seluruh negara, malah aada antaranya koleksi peribadi milik arwah bapanya dan Azmin sendiri yang dikumpul sejak kecil.

MESIN penggelek getah yang ditempatkan di hadapan rumah.
MESIN penggelek getah yang ditempatkan di hadapan rumah.

Pada masa sama Azmin banyak berkongsi mengenai koleksi barangan antik di Instagramnya iaitu minaziz2020 sehingga mendapat maklum balas positif dalam kalangan warganet.

Apabila memasuki halaman rumah, penulis sudah dapat melihat banyak barangan antik dipamerkan di hadapan kediamannya termasuk basikal lama, alat pemerah tebu, cangkul, pintu lama, alat dan pertukangan lama.

Beberapa kali Azmin menguji penulis dan jurugambar mengenai barang antik yang ditempatkan di setiap sudut rumah dan hampir semua soalan gagal dijawab dengan tepat.

TEMPAT membanting padi yang dijadikan meja.
TEMPAT membanting padi yang dijadikan meja.

Lebih menarik perhatian penulis adalah di satu sudut dinding rumah batu itu dialas dengan kayu landasan kereta api yang diperoleh dari Perak.

Pada dinding ruangan yang dijadikan tempat bersantai di luar rumah pula diletakkan pelbagai barangan antik seperti pam tayar, acuan batu ladung dan belanga.

Malah, Azmin turut memiliki kemahiran pertukangan membaik pulih pelbagai barang antik.

Seterusnya pada bahagian ruang tamu terdapat bangku kayu yang ditempah khas arwah bapanya dari Thailand dengan menggunakan corak bunga.

Boleh dikatakan kebanyakan barang dalam rumah ditempatkan turut koleksi milik keluarganya.

PERALATAN lama yang menarik perhatian pengunjung.
PERALATAN lama yang menarik perhatian pengunjung.

Antara yang menarik perhatian penulis adalah lesen, pasport dan wang lama. Malah, beberapa tongkat milik arwah bapanya turut ditempatkan dalam almari kaca.

Setiap ruang dalam rumah, sama ada di ruang tamu, ruang makan dan bilik bacaan ditempatkan pelbagai barangan antik yang memiliki seribu satu cerita menarik di sebaliknya.

Uniknya, setiap barang ini disusun rapi di setiap sudut dan pengunjung akan terasa seolah-olah berada di sebuah muzium sebenar.

Azmin berkata, minat mengumpul barangan antik tercetus daripada arwah bapanya selain tertarik dengan fungsi dan cerita di sebaliknya.

"Hampir semua barang lama yang ditemui ada fungsi tertentu dan tahan lama. Setiap barang yang dihasilkan ada cerita menarik di sebaliknya yang perlu diketahui generasi sekarang.

"Pada masa sama, saya nak anak dan cucu tahu mengenai sejarah melalui barang lama ini," katanya.

GONG yang berfungsi sebagai pengganti kepada loceng.
GONG yang berfungsi sebagai pengganti kepada loceng.

Menurutnya, dahulu keluarga arwah bapanya hidup susah dan barang yang rosak akan dibaiki sendiri kerana kesempitan hidup.

"Atas sebab itu, ia mengajar saya untuk menghargai setiap barang peninggalan arwah bapa sehingga kini kerana menjadi sebahagian nostalgia kepada keluarga kami," katanya.

Katanya, kebanyakan barangan antik juga dikumpul ketika menziarah saudara-mara atau menghadiri kenduri di kawasan kampung.

"Biasanya saya akan berada sekejap sahaja di khemah kenduri dan akan ke belakang rumah untuk mencari barang lama," katanya.

Tambahnya, dia kerap menerima kunjungan daripada rakan untuk melihat koleksi barangan antiknya.

"Saya suka berkongsi cerita supaya lebih ramai terutama golongan muda menghargai sejarah melalui barangan antik.

"Pada masa sama saya juga memiliki bengkel untuk membaik pulih sendiri barangan lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 7:00 AM