JEFRI (kiri) melayan pelanggan yang singgah di Pasar Antik dekat pekarangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
JEFRI (kiri) melayan pelanggan yang singgah di Pasar Antik dekat pekarangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Rosman Shamsudin

Tanjung Malim: Walaupun pernah disahkan menghidap penyakit kanser limfoma atau kanser darah namun pengumpul dan penjual barang antik, Jefri Zain Nadzri, 54, reda dengan ketentuan Tuhan serta tabah menjalani kehidupan seharian.

Sejak zaman kanak-kanak lagi, dia sering mengikut ayahnya mencari dan mengumpul barang antik untuk tujuan koleksi dan dijual kepada peminatnya yang tersendiri.

Dia yang tinggal di Kalumpang, Hulu Bernam, Selangor sentiasa ditemani isterinya, Noraimi Jamilus , 51, mengumpul dan menjual barang antik dan sesekali ditemani anak perempuan, Nurul Hidayah, 25.

Jefri Zain berkata, pekarangan Stadium Shah Alam, Selangor adalah lokasi tetap mereka menjual barangan antik di samping berjumpa dengan pengumpul dan penjual barang antik yang lain untuk bertanya khabar serta bertukar-tukar koleksi.

Katanya, sekitar tahun 2013, dia pula disahkan menghidap penyakit kanser limfoma selepas menjalani pemeriksaan kesihatan menyebabkan usaha dia mengumpul dan menjual barang antik menjadi terbatas.

"Sebanyak empat kali bertukar hospital dan terpaksa tinggal selama dua tahun di hospital bagi menjalani rawatan serta disusuli pula rawatan kemoterapi yang semuanya memakan masa selama lapan tahun sebelum pulih sepenuhnya.

"Sebagai manusia biasa, saya pada mulanya merasakan hidup saya bakal berakhir dan mula hilang semangat selepas disahkan menghidap penyakit kanser terbabit.

"Akhirnya saya terima ketentuan illahi dan kuatkan semangat sambil menjalani rawatan serta sentiasa mengikut nasihat dan pandangan doktor.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan kerana beri peluang kedua kepada saya untuk menjalani kehidupan yang normal selepas sembuh daripada penyakit terbabit," katanya ketika ditemui di Pasar Antik dekat pekarangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

SEBAHAGIAN koleksi barangan antik dijualnya.
SEBAHAGIAN koleksi barangan antik dijualnya.

Sebelum ini, sambil berkerja di Kilang Proton Shah Alam, dia hanya menjual barang antik pada cuti hujung minggu sahaja, tetapi selepas berhenti kerja pada tahun 2015 lalu dia menumpukan sepenuh masa sebagai pengumpul dan penjual barang antik.

Bukan semua barang antik yang dikumpul dijual kepada pelanggan dan sebahagiannya dia jadikan sebagai koleksi peribadi.

Berkenaan harga barang antik, dia berkata, harga sesuatu barang bergantung kepada mutu barangan, usia, permintaan semasa serta pasaran.

"Saya pernah menjual jam dinding yang mempunyai tiga kunci buatan negara Jerman keluaran sekitar tahun 60-an dengan harga RM2,000 kepada salah seorang peminat barang antik.

"Barang antik mempunyai nilai sentimental tersendiri bersifat subjektif yang sukar kita tafsirkan kerana lain orang, lain pula pandangan atau pendapat," katanya.

BASIKAL antik antara koleksi bernilai dijual Jefri.
BASIKAL antik antara koleksi bernilai dijual Jefri.

Minat dia mengumpul dan menjual barang antik turut diikuti oleh isterinya, Noraimi yang gemar mengumpul dan menjual koleksi set pinggan mangkuk.

Bukan calang-calang pinggan mangkuk yang dikumpul kerana sebahagian besarnya buatan daripada luar negara iaitu England, China, Perancis,.Jepun dan Jerman termasuk tempatan yang berusia berpuluh tahun.

Noraimi berkata, corak, warna dan bersifat tahan lasak serta tahun pembuatan menjadikan set pinggan mangkuk berkenaan mempunyai nilai yang tersendiri terutama dalam kalangan pengumpul dan peminat barang antik.

"Set pinggan mangkuk ini bukan mudah di dapati di mana-mana kedai perkakasan dapur kerana biasanya dimiliki oleh orang individu atau orang perseorangan tertentu sahaja," katanya.

NORAIMI ditemani anaknya menyusun pinggan mangkuk antik.
NORAIMI ditemani anaknya menyusun pinggan mangkuk antik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 7:30 AM