DR Marinah bersama keluarga yang sentiasa menyokong minatnya.
DR Marinah bersama keluarga yang sentiasa menyokong minatnya.
Hidayatidayu Razali


Minat mengumpul jam antik atau lebih dikenali sebagai vintaj, mendorong seorang pensyarah mengembara ke Eropah untuk mendapatkan pelbagai koleksi yang diimpikannya itu.

Meskipun terpaksa berkorban ribuan ringgit untuk mendapatkan sesuatu rekaan, namun ia tidak pernah menghalang minat Dr Marinah Muhammad, 46, sebaliknya memberi kepuasan selepas berjaya memperoleh koleksi impian.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu berkata, dia mula mengumpul jam antik ketika melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang matematik di University of Southampton, United Kingdom (UK) pada tahun 2015.

Katanya, dalam kesibukan mengejar impian untuk menggenggam PhD, dia mula jatuh cinta dengan jam antik selepas dihadiahkan rakannya.

"Salah seorang rakan seperjuangan menghadiahkan saya sebuah jam antik buatan British yang berfungsi secara mekanikal.

"Keunikan jam itu membuatkan saya mula jatuh cinta dan sejak itulah timbulnya minat untuk mengumpulkan pelbagai rekaan jam antik.

"Apatah lagi jam antik atau vintaj mempunyai rekaanyang unik," katanya kepada Harian Metro.

Ibu kepada tiga anak berusia antara empat hingga 11 tahun itu berkata, sejak itu dia dan suami, Mohd Borhan Mat Ail, 52, mula mencari dan mendapatkan jam vintaj daripada pemilik sendiri yang diiklankan menerusi sebuah laman sesawang jual beli di sana.

Akui Dr Marinah, dia lebih selesa membeli daripada pemilik dan berjumpa dengan mereka sendiri kerana harganya lebih murah berbanding beli di kedai yang dijual dengan harga lebih tinggi.

"Saya dan suami tidak kisah mengembara jauh asalkan dapat berjumpa pemilik untuk berunding soal harga.

"Faktor utama saya tertarik kepada jam antik adalah disebabkan kualitinya selain itu kebanyakan jam antik juga diperbuat daripada kayu yang tahan lama.

"Ia juga berfungsi secara mekanikal dan paling istimewa ialah bunyi dentingannya yang memberikan satu kepuasan untuk memilikinya," katanya.

Dr Marinah berkata, pada awalnya pencarian jam vintaj bermula di sekitar Southampton sahaja namun mereka akhirnya mengembara ke hampir seluruh pelosok England.

Kata Dr Marinah, dia banyak mempelajari nilai dan kualiti jam antik itu daripada pemilik asalnya.

ANTARA koleksi jam antik yang dikumpul.
ANTARA koleksi jam antik yang dikumpul.

Menurutnya, bagi pengumpul jam antik, mereka tahu nilai pasaran jam antik buatan British dan Eropah.

"Disebabkan kualiti, jam antik menjadi buruan dan ada yang sanggup berhabisan sehingga puluhan ribuan ringgit semata-mata untuk mendapatkan koleksi yang jarang jumpa dan mempunyai nilai sentimental.

"Maklumat yang diperoleh ketika mendapatkan jam antik turut membantu saya dalam mengumpul data yang berkaitan kajian dalam belajar.

"Menjejak jam antik itu juga adalah aktiviti pengumpulan data dalam penyelidikan sains sosial yang membabitkan temu bual bersama pemilik asal jam sebelum ia bertukar tangan kepada kami," katanya.

Menurut Dr Marinah lagi, setiap jam yang ada dalam koleksi simpanannya memilikicerita tersendiri.

Selain data sosial, data lokasi juga saya ambil bagi membolehkan analisis taburan spatial bagi jam antik ini dapat dijalankan.

KOLEKSI kesayangan Dr Marinah disimpan dan dijaga rapi.
KOLEKSI kesayangan Dr Marinah disimpan dan dijaga rapi.

"Secara tidak langsung, saya menggabungkan minat dan kepakaran melalui satu aktiviti yang sangat menyeronokkan sepanjang kembara mendapatkan segulung PhD," katanya.

Tambah Dr Marinah lagi, meskipun sudah lama pulang ke tanah air namun setiap kali ada masa terluang, dia sering mencari maklumat mengenai jam antik di internet.

Katanya, peluang mempelajari dan mendalami ilmu mengenai jam antik banyak mempengaruhinya dalam misi menjejaki jam yang mungkin kurang nilainya bagi sesetengah penduduk England.

"Kebanyakan penduduk di sana mempunyai jam antik yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.

"Namun, ramai pemilik akan menjual jam antik itu apabila mereka mahu mengubah suai rumah mengikut tema dan cita rasa masing-masing," katanya.

MOHD Borhan (kiri) ketika membeli jam antik daripada pemilik asal.
MOHD Borhan (kiri) ketika membeli jam antik daripada pemilik asal.

Dr Marinah mengakui bertuah kerana suami memberi sokongan penuh dan turut berkongsi minat yang sama dalam mencari serta mengumpul jam antik.

Malah tiga anak juga memahami minat itu dan tidak akan 'mengusik'jam antik berkenaan tanpa kebenaran.

"Sehingga kini, terdapat pelbagai rekaan dalam simpanan antaranya 52 jam rak lama, 12 jam dinding, tigajam koleksi 'grandfather,' lima jam koleksi 'grandmother' dan limajam koleksi 'granddaughter'.

"Manakala, koleksi jam kesayangan ialah sebuah jam antik berusia hampir 200 tahun.

"Model itu dikeluarkan pada tahun 1826, iaitu mantel clock atau jam rak lama keluaran British yang tidak diketahui jenama dan pengeluarnya," katanya yang turut menyediakan ruang khas di rumah untuk koleksi kesayangannya itu.

Sementara itu, Dr Marinah berkata, bunyi dentingannya sangat unik dan jam itu masih berfungsi dengan baik kerana pemilik asalnya seorang pesara lelaki berusia 82 tahun menjaganya dengan rapi.

Katanya, pemilik asal jam itu mewarisi daripada moyangnya, namun membuat pengubahsuaian rumah serta menukar tema hiasan dalaman kediaman.

Maka, dengan berat hati mereka terpaksa melepaskannya dan mengharapkan Dr Marinah dapat menjaga jam itu dengan baik.

"Jika hendak diceritakan memang tidak akan habis, Insya-Allah pengalaman dan kisah itu akan saya tulis dalam sebuah buku ilmiah yang bernilai tinggi pada suatu hari nanti.

"Melalui buku itu juga dapatan dari analisis data yang dikumpul juga dapat dikongsikan dan seterusnya menjawab segala persoalan dari kenalan serta rakan yang bertanya kenapa saya gemar mengumpul jam antik.

"Mungkin jiwa matematik yang tebal dalam diri menyebabkan jam antik yang digambarkan sebagai satu seni bernombor yang sangat mahal dan tinggi nilai estetikanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 7:00 AM