AZMAN menunjukkan barang kemas lama. FOTO Gambar Fathil Asri
AZMAN menunjukkan barang kemas lama. FOTO Gambar Fathil Asri
Hazira Ahmad Zaidi


BAGI penggemar barangan antik, koleksi yang dikumpul atau dijual mereka bukan dinilai pada wang semata-mata, sebaliknya usia koleksi berkenaan yang mencecah ratusan tahun, lebih-lebih lagi jika ianya tiada pendua atau edisi terhad.

Maka tidak hairan jika ada pihak yang sanggup mendapatkannya terutama peminat, pengusaha dan penggemar barangan antik walaupun harganya mencecah ribuan dan ada sehingga ratusan ribu ringgit.

Azman Azahari, 42, antara individu yang bukan saja pengumpul barangan antik, malah menjadikan hobinya itu sebagai sumber pendapatan untuk menyara keluarga.

Azman berkata, minatnya terhadap barangan antik bermula ketika berusia 16 tahun apabila sering mengikut arwah bapanya masuk ke pelosok kampung untuk mencari barangan antik.

“Saya mula menjadikan hobi ini sebagai punca pendapatan apabila mengambil alih perniagaan arwah ayah (Azahari Abdullah) yang meninggal dunia pada 1999.

“Kedai yang diusahakan sejak 1972 ini juga tidak asing lagi dalam kalangan pengumpul atau penggemar barangan antik yang boleh diklasifikasikan sebagai muzium mini kerana mempunyai pelbagai barangan termasuk senjata Melayu, pasu seramik, barangan tembikar, loceng, kamera, kain tenun, lampu, dan banyak lagi yang berusia antara 50 hingga 500 tahun,” katanya ketika ditemui di Jalan Kebun Sultan di sini.

Menurutnya, aktiviti menjual barangan antik mampu memberi pendapatan lumayan bergantung kepada keunikan, usia serta pemilik terdahulu.

“Selain dibeli pengumpul serta penggemar barangan antik, Perbadanan Muzium Kelantan dan beberapa muzium dari negeri lain pernah membeli barangan yang dijual di kedai saya untuk dipamerkan.

“Pada masa sama, kedai saya bukan saja dikunjungi penggemar barangan antik di seluruh negara, malah turut menjadi pilihan pelancong dari luar negara seperti Singapura, China dan England,” katanya.

Anak kelima daripada enam beradik ini berkata, kebanyakan barangan lama mempunyai kisah serta sejarah tersendiri yang hanya dapat difahami dalam kalangan penggemarnya saja.

“Bagi saya jika sudah ada minat, wang ringgit bukan segala-galanya kerana kepuasan memiliki barangan antik menjadi keutamaan kerana tiada persamaan antara satu sama lain dan umpama satu dalam sejuta.

“Disebabkan minat, saya sanggup merantau ke seluruh negeri termasuk luar negara seperti Thailand untuk menambah koleksi peribadi selain untuk dijual di kedai. Saya bersyukur isteri (Mimi Musa, 44) sangat memahami dan hobi itu juga turut dikongsi bersama anak lelaki, Muhammad Syazwan, 22,” katanya.

Katanya, dia juga mempunyai koleksi peribadi yang mempunyai sejarah, cerita dan nostalgia tersendiri yang dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit sekali gus menjadikan ianya sangat unik.

“Saya tidak menganggap ianya satu pembaziran kerana nilai yang ada pada barangan dibeli ini jauh lebih tinggi.

“Sehingga kini saya mempunyai 250 keris lama seperti keris Bugis, Tok Chu, Melela dan Pandai Saras yang masih tersimpan rapi,” katanya.

AZMAN bersama anak lelakinya, Muhammad Syazwan mempunyai minat yang sama mengumpul barangan antik. FOTO Gambar Fathil Asri
AZMAN bersama anak lelakinya, Muhammad Syazwan mempunyai minat yang sama mengumpul barangan antik. FOTO Gambar Fathil Asri

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 7:00 AM