NUR Jazlan pada Sambutan Ulangtahun Pasar Tani Ke-33 Peringkat Negeri Johor di Perling Mall, semalam.
NUR Jazlan pada Sambutan Ulangtahun Pasar Tani Ke-33 Peringkat Negeri Johor di Perling Mall, semalam.
Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru : Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah kecekapan untuk menahan golongan pedofilia yang memuat naik dan memuat turun bahan pornografi kanak-kanak di Internet dengan mempelajari teknik terbaru mengesan golongan itu daripada polis Australia juga United Kingdom (UK).

Tindakan itu diambil bagi memastikan keselamatan kanak-kanak negara ini selepas Malaysia mencatatkan kadar muat naik dan muat turun pornografi kanak-kanak tertinggi di Asia Tenggara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kerjasama itu bagi mengesan pelaku kegiatan tidak bermoral itu dan menahan mereka berdasarkan bukti mencukupi.

“Penguatkuasaan kepada mereka yang memuat naik dan memuat turun pornografi berbentuk kanak-kanak ini sentiasa dilakukan dan dipantau polis.

“Namun kami (PDRM) akan bekerjasama dengan polis Australia dan UK untuk mempelajari teknik terbaru mengesan pelaku jenayah itu,” katanya selepas merasmikan Sambutan Ulangtahun Pasar Tani Ke-33 Peringkat Negeri Johor di Perling Mall di sini, semalam.

Nur Jazlan berkata, kerjasama yang akan dilakukan menjurus kepada cara mengesan tindak-tanduk pengguna Internet terutama pedofilia.

“Polis memerhati jaringan yang memberi kemudahan untuk memuat turun perkara melanggar undang-undang terutama pornografi kanak-kanak.

“Mereka berselindung di belakang ‘anonymous identity’, mereka menyembunyikan alamat IP dan menyalurkan pornografi melalui laluan tidak dapat dikesan penguat kuasa dan inilah masalahnya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihak penguat kuasa sentiasa menpertingkatkan keupayaan daripada segi pengawasan di Internet dan bekerjasama dengan penguat kuasa negara lain.

“Sekiranya pornografi kanak-kanak dimuat turun di negara ini, tindakan akan diambil mengikut kesalahan jenayah di bawah Akta Polis dan Akta Penderaan Kanak-kanak,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan rakyat Malaysia supaya berhati-hati dan menjauhkan diri dari memuat turun pornografi kanak-kanak.

“Tindakan mereka akan direkodkan sampai bila-bila tidak kira hari ini, esok, minggu depan, bulan depan dan tahun depan, mereka yang memuat turun pornografi kanak-kanak di Internet boleh dikesan.

“Malah, PDRM pernah menahan rakyat UK tahun lalu kerana melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak dan menggunakan negara ini sebagai pusat untuk berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung laporan berkaitan pornografi kanak-kanak pada seminar oleh Bukit Aman mengenai keselamatan siber kanak-kanak.

Panel dalam seminar itu menyatakan Malaysia mencatatkan kadar muat naik dan muat turun pornografi kanak-kanak tertinggi di Asia Tenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 4:26 AM