CHE Asmah (kiri) menandatangani plak pada perasmian Seminar Lindungi Diri dan Keluarga - Pornografi, Pedofilia dan Jenayah Siber di Kompleks Usains, Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong
CHE Asmah (kiri) menandatangani plak pada perasmian Seminar Lindungi Diri dan Keluarga - Pornografi, Pedofilia dan Jenayah Siber di Kompleks Usains, Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong
Hadzlihady Hassan


DUNIA tanpa sempadan dengan penggunaan Internet yang tidak dikawal membuka ruang kepada kanak-kanak untuk menjadi mangsa pedofilia dan ekploitasi seks.

Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, Internet memang memudahkan perkongsian maklumat, namun akan menjadi bala jika disalahgunakan pihak tertentu termasuk pelaku pedofilia.

Menurutnya, kanak-kanak juga akan mudah terdedah dengan aktiviti seks jika penggunaan Internet tidak dikawal sepenuhnya oleh ibu bapa.

“Sebagai contoh, kita lihat ada kes di mana anak-anak menggunakan telefon pintar ibu bapa mereka dan secara tidak sengaja melihat video seks atau gambar bogel yang ada dalam peranti berkenaan.

“Ini akan mendorong mereka untuk mengetahui lebih lanjut dan menyebabkan mereka mudah terdedah kepada aktiviti seks dalam usia muda tanpa pengawasan kerana sikap mereka yang sentiasa ingin tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Lindungi Diri dan Keluarga - Pornografi, Pedofilia dan Jenayah Siber di Auditorium Murad Mohd Nor, Kompleks Usains, Georgetown, hari ini.

Seminar terbabit dianjurkan Wanita IKRAM Pulau Pinang dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi memberi maklumat dan kesedaran mengenai pornografi, pedofilia dan jenayah siber kepada semua lapisan masyarakat.

Che Asmah berkata, kebebasan dan kemudahan Internet membuka ruang luas kepada kanak-kanak, remaja serta orang dewasa sehingga mengalami ketagihan untuk mendapatkan bahan mengaibkan.

“Cara terbaik adalah dengan menyekat akses atau menapis segala bahan berkenaan di alam siber.

“Selain itu, pendidikan dan penguat kuasaan undang-undang jenayah pornografi, pedofilia dan jenayah siber ini perlu diberikan penegasan dengan mengenakan hukuman berat kepada pesalah,” katanya.

Menurutnya, ada antara pedofilia terdiri dalam kalangan ahli keluarga terdekat dan ini menjadi kebimbangan ibu bapa untuk tampil membuat pendedahan kerana malu sekiranya orang lain tahu anak mereka menjadi mangsa.

“Sebab itu kita mengadakan seminar seumpama ini kerana mahu ibu bapa sedar mengenai pedofilia ini jika dibiarkan akan meninggalkan kesan buruk kepada anak-anak mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 3:44 PM