Rosliza Mohamed


POLIS Kelantan menolak kemungkinan wujud unsur keganasan dalam kejadian gereja dan kuil di Jalan Hamzah, Kota Bharu dibaling objek keras, 12.30 tengah malam tadi.

Ketua Polisnya, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati tidak wujud unsur keganasan termasuk mengaitkannya dengan kumpulan militan.

"Bagaimanapun, kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut termasuk menyiasat motif sebenar suspek berbuat demikian dan mengesannya berdasarkan keterangan saksi.

"Suspek dieprcayai melemparkan objek seperti botol dari Jambatan Sultan Yahya Petra ke arah cermin gereja dan kuil sebelum melarikan diri dengan kenderaan pelbagai guna," katanya pada sidang media di IPK Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Hasanuddin berkata, pihaknya juga menyiasat kemungkinan wujud unsur khianat dan dendam dalam kejadian itu.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk salurkan kepada pihaknya dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di talian 09 7752200 atau balai polis berdekatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan bencana dan mencemarkan tempat sembahyang orang awam.

Berita berkaitan:

Cermin gereja, kuil pecah dibaling objek

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 5:42 PM