KENDERAAN JPJ yang rosak di cermin hadapan. FOTO Ihsan JPJ.
KENDERAAN JPJ yang rosak di cermin hadapan. FOTO Ihsan JPJ.
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah cedera di muka selepas terkena serpihan cermin hadapan kenderaan mereka yang pecah akibat dibaling objek besi dipercayai 'bearing', hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari Kampung Cina menghala ke pejabat JPJ di sini.

Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Sharif ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan kedua-dua anggota berusia 30-an itu mengalami cedera ringan.

Katanya, kejadian berlaku pada 12.45 tengah hari ketika mereka mengiringi tiga lori yang dikenakan tindakan kerana membawa muatan berlebihan.

"Bagaimanapun, kenderaan dinaiki anggota dipercayai dibaling objek besi seperti 'bearing' dan anggota ternampak dua individu tidak dikenali yang menunggang motosikal, disyaki melakukannya," katanya, hari ini.

Ismasuhaimi berkata, anggotanya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Pendang dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada polis.

"Kenderaan rosak pada cermin hadapan dan cermin sisi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 8:33 PM