KETUA Pegawai Eksekutif Syarikat Bas Rhino Airiel, Mohd Rashidi Abd Rahim menunjukkan kesan pecah di cermin depan bas selepas dibaling dengan besi. Gambar kecil, mangsa yang cedera di bahagian kepala. FOTO Mohd Nazrulaswad
KETUA Pegawai Eksekutif Syarikat Bas Rhino Airiel, Mohd Rashidi Abd Rahim menunjukkan kesan pecah di cermin depan bas selepas dibaling dengan besi. Gambar kecil, mangsa yang cedera di bahagian kepala. FOTO Mohd Nazrulaswad
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop dan Azizan Hashim


Ipoh: Seorang penyokong Perak cedera selepas tiga bas yang membawa penyokong pasukan bola sepak itu dibaling dengan besi oleh beberapa orang di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berdekatan Machap, Johor.

Wakil penyokong Arfaeez Abd Rahman, 25, berkata, dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu, ketiga-tiga bas yang membawa 118 penyokong itu baru bertolak dari Stadium Larkin di Johor untuk pulang ke Ipoh, Perak, secara tiba-tiba diekori sekumpulan individu menaiki kereta serta motosikal sebelum dibaling dengan pelbagai objek.

Menurutnya, sebaik memasuki lebuh raya, terdapat kumpulan lain yang menaiki kereta serta motosikal turut menunggu di setiap persimpangan dan membaling pelbagai objek seperti batu, besi dan kayu.

"Sebaik tiba di persimpangan Machap, satu daripada besi yang dibaling itu terkena cermin hadapan bas dan masuk ke dalam bas sehingga terkena seorang penyokong mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala.

"Kami kemudiannya terpaksa meminta bantuan anggota polis untuk mengiringi kami sebelum memberhentikan bas di tepi lebuh raya bagi membolehkan ambulans membawa mangsa ke hospital," katanya dalam sidang media yang diadakan sebaik tiba di Stadium Perak di Ipoh, sebentar tadi.

Arfaeez berkata, mangsa dibawa ke Hospital Melaka dan terpaksa menerima 15 jahitan di bahagian kepala sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Menurutnya, ketiga-tiga bas turut mengalami kerosakan selepas beberapa bahagian bas seperti cermin depan, belakang serta sisi dan bahagian pintu pecah akibat dibaling dengan pelbagai objek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 2:19 PM