Anggota Unit Forensik memeriksa  cermin pintu depan rumah mangsa yang pecah akibat dibaling  objek keras di Bandar Baru Kubang Kerian.
Anggota Unit Forensik memeriksa cermin pintu depan rumah mangsa yang pecah akibat dibaling objek keras di Bandar Baru Kubang Kerian.
myMetro

Kota Bharu: “Tiba-tiba saja ada bunyi meletup yang kuat. Saya keluar meninjau dan melihat pintu gelongsor kaca rumah pecah berderai,” kata Suhada Mustafa, 24.

Dia menceritakan kejadian rumahnya di Bandar Baru Kubang Kerian, di sini ‘diserang’ hingga menyebabkan pintu utama kediaman itu pecah jam 1 pagi kelmarin.

Suhada berkata, ketika kejadian, dia berada di dapur dan ketakutan sebaik melihat rumahnya diperlakukan demikian.

“Saya tak tahu nak buat apa ketika itu kerana terlalu takut. Pada masa sama, tiada sesiapa di luar rumah dan bimbang jika ada orang muncul.

“Cuma ada dengar bunyi enjin motosikal selepas kejadian. Saya segera menelefon bapa yang tinggal di kawasan berdekatan dan membuat laporan polis,” katanya di rumahnya, semalam.

Suhada yang mengusahakan kedai runcit di sebuah hospital, di sini berkata, dia bimbang keselamatan diri dan mahu polis mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya, rumah itu disewa sejak sembilan bulan lalu dan dia tinggal bersama seorang kakak berusia 29 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, sepasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis (IPK) Kelantan ke rumah itu sejurus menerima laporan.

“Kita tidak menemui sebarang objek sama ada kelongsong peluru atau sebaliknya yang didakwa menyebabkan pintu cermin pecah.

“Berkemungkinan besar ia disebabkan satu objek keras yang dibaling ke pintu berkenaan,” katanya yang memberitahu siasatan masih dijalankan termasuk motif kejadian.

Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa tinggal seorang diri kerana kakaknya yang sudah berkahwin tiada di rumah.

“Mangsa juga mendakwa tiada musuh atau hutang mahupun perselisihan faham dengan jiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 10:53 AM