Hilmy Sazlin (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada sebuah keluarga yang mempunyai lapan orang anak dengan enam daripadanya tidak bersekolah. FOTO  Amir Irsyad Omar
Hilmy Sazlin (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada sebuah keluarga yang mempunyai lapan orang anak dengan enam daripadanya tidak bersekolah. FOTO Amir Irsyad Omar
Muhammad Shalaby Shahbuddin


KISAH seorang lelaki yang tidak dapat menghantar enam daripada lapan anaknya ke sekolah akibat dibelenggu masalah kewangan akhirnya mendapat perhatian Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang (ICU), hari ini.

Penolong Pengarah ICU Hilmy Sazlin Azny Abdul Aziz berkata, selepas artikel mengisahkan enam daripada lapan anak Ibrahim Mohd Noor, 46, tidak bersekolah sejak Januari lalu disiarkan Harian Metro, pihaknya segera ke rumahnya hari ini untuk menyampaikan bantuan bagi meringankan bebanan keluarga itu.

Katanya, mereka mengambil inisiatif menyampaikan bantuan berkenaan seperti baucar alat kelengkapan sekolah, tambang bas sekolah selama setahun bermula sesi persekolahan tahun hadapan dan surat tawaran penempatan sekolah.

"Baucar membeli peralatan sekolah termasuk pakaian seragam sebanyak RM200 setiap seorang dan tambang bas sekolah dibiayai selama setahun bermula tahun hadapan sebanyak RM4,320.

"Malah, anak-anak berkenaan turut menerima surat tawaran penempatan sekolah bermula tahun hadapan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT)," katanya.

Hilmy berkata demikian selepas menyampaikan `sumbangan berkenaan di rumah Ibrahim di Flat Ampang Jajar, dekat sini.

Turut hadir, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sama Gagah, Shamsudin Husin, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pauh, Muhd Bahar Mat, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mak Mandin, Samsudin Mat dan wakil daripada PPD SPU dan SPT.

Menurut Hilmy, keenam-enam anak berkenaan akan ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sama Gagah, Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pauh dan SK Permatang Tok Kandu.

Sementara itu, Ibrahim berkata, dia berasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak terbabit apabila keenam-enam anaknya itu yang berusia antara enam hingga 15 tahun bakal kembali meneruskan persekolahan mereka pada tahun hadapan.

Dia berkata, dengan pendapatan kasar yang diperoleh hanya RM1,000 sebulan sebagai tukang kebun di sebuah sekolah tidak mencukupi baginya untuk menyara persekolahan anak-anaknya itu selain perbelanjaan harian lain.

"Saya akan memastikan semua anak yang menerima sumbangan ini akan pergi ke sekolah untuk menyambung pembelajaran mereka yang selama ini tercicir.

"Hanya Allah SWT sahaja yang mampu balas budi baik pihak terbabit, sekali gus meringankan bebanan yang dipikul saya selama ini," katanya.

Terdahulu, kisah Ibrahim pernah disiarkan dalam Harian Metro pada 23 September dan 4 Oktober lalu apabila dibelenggu masalah kewangan membuatkan enam daripada lapan anaknya terpaksa berhenti sekolah sejak Januari lalu.

Sebelum itu, mereka menetap di Teluk Kumbar, Bayan Lepas dan enam anak mereka masih bersekolah, namun selepas berpindah ke Flat Ampang Jajar, kewangan Ibrahim merosot teruk disebabkan baru sahaja mendapat kerja.

Berikutan itu, enam anaknya tidak dapat meneruskan persekolahan kerana tidak mampu menanggung yuran, kos pengangkutan untuk naik bas dan duit belanja sekolah selain bil utiliti dan sewa rumah tertunggak, manakalaisterinya, Siti Aminah Omar, 36 kehilangan anak kesembilan mereka selepas kandungannya berusia tujuh bulan meninggal dunia akibat ditimpa kemalangan lebih sebulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 7:33 PM