SEORANG  pelajar memilih pensil warna untuk ke sekolah di  Giant Hypermarket di Prai.
SEORANG pelajar memilih pensil warna untuk ke sekolah di Giant Hypermarket di Prai.
PELAJAR menerima bantuan  beg sekolah  di Dewan PPD Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam.
PELAJAR menerima bantuan beg sekolah di Dewan PPD Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam.
Muhammad Shalaby Shahbuddin


Permatang Pauh: “Terima kasih bantu kami, buatlah lagi tahun hadapan,” itu harapan ibu bapa yang gembira dan berpuas hati selepas anak mereka terpilih menerima bantuan persekolahan menerusi Program Titipan Kasih (TKHM) Khas Harian Metro ‘Kembali Ke Sekolah’, kelmarin.

Program itu menyaksikan 200 murid dan pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir terdiri anak yatim, asnaf dan yang memerlukan menerima kelengkapan dan pakaian persekolahan RM100 seorang tajaan Giant Hypermarket Prai.

Seorang penerima, Rokiah Ibrahim, 53, berkata, bantuan persekolahan disumbangkan itu amat bermakna terutama buat anaknya, Muhammad Shukri Zulkifli, 11, yang sudah lama menyimpan hasrat dan tidak sabar untuk menyarung pakaian seragam sekolah baru untuk sesi persekolahan tahun depan.

Menurutnya, sebelum ini, dia dan suami Zulkifli Hassan, 50, belum ada peruntukan kewangan untuk membeli pakaian sekolah baru untuk anak bongsu daripada sembilan beradik itu.

“Saya tidak bekerja dan suami pula hanya kerja kampung, sekali gus kami berasa amat beruntung apabila Muhammad Shukri terpilih menerima bantuan ini.

“Bantuan persekolahan diterima ini meringankan beban saya dan suami memandangkan kami masih buntu untuk membeli baju sekolah baru untuk anak,” katanya yang tinggal di Kampung Kota, Permatang Pasir.

Pada majlis itu, Pengarang Eksekutif Rencana dan Pengeluaran Harian Metro selaku Pengerusi TKHM Othman Mamat menyampaikan sumbangan beg sekolah dan cenderamata kepada penerima terdiri anak yatim, miskin dan mangsa banjir di Dewan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Tengah (SPT), Permatang Pasir.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah SPT Syed Jaafar Syed Abd Aziz dan Pengurus Giant Wilayah Utara Mohd Asri Jaafar.

Seorang lagi penerima, Anizah Mansor, 45, berkata, untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anaknya, Nor Suhaila Zani, 11, dia dan suami, Zani Saad, 45, perlu berjimat-cermat dalam perbelanjaan harian.

“Kami hanya berniaga air tebu dan pisang goreng dengan pendapatan RM30 hingga RM50 sehari dan itu bergantung kepada keadaan cuaca.

“Kami masih perlu menyara tiga anak dan ada antara mereka masih menuntut di universiti dan institut pengajian tinggi yang memerlukan kami menyediakan belanja yang tinggi setiap bulan,” katanya yang tinggal di Permatang Pauh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 10:01 AM