SITI Aminah (kanan) ditimpa kemalangan lebih sebulan lalu.
SITI Aminah (kanan) ditimpa kemalangan lebih sebulan lalu.
HILMY (dua dari kanan) hadir memberikan bantuan kepada keluarga Ibrahim.
HILMY (dua dari kanan) hadir memberikan bantuan kepada keluarga Ibrahim.
HM Digital

Butterworth: Kisah seorang lelaki yang tidak dapat menghantar enam daripada lapan anaknya ke sekolah akibat masalah kewangan akhirnya mendapat perhatian Pejabat Pembangunan Persekutuan negeri, semalam.

Penolong Pengarahnya, Hilmy Sazlin Azny Abdul Aziz berkata, selepas artikel enam daripada lapan anak Ibrahim Mohd Noor, 46 tidak bersekolah sejak Januari lalu disiarkan Harian Metro, pihaknya datang ke rumah lelaki itu untuk menyampaikan bantuan bagi meringankan bebanan keluarganya.

Beliau berkata, pihaknya mengambil inisiatif menyampaikan bantuan berupa baucar alat kelengkapan sekolah, tambang bas sekolah selama setahun bermula sesi persekolahan tahun hadapan dan surat tawaran penempatan sekolah kepada enam anak Ibrahim.

“Baucar membeli peralatan sekolah termasuk pakaian seragam RM200 seorang dan tambang bas sekolah selama setahun bermula tahun hadapan dibiayai pihak kami dengan peruntukan RM4,320.

“Malah, enam anak berkenaan turut menerima surat tawaran penempatan sekolah bermula tahun hadapan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT),” katanya.

Hilmy berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan itu di rumah Ibrahim di Flat Ampang Jajar, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sama Gagah, Shamsudin Husin, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pauh, Muhd Bahar Mat, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mak Mandin, Samsudin Mat dan wakil daripada PPD SPU dan SPT.

Menurut Hilmy, mereka akan ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sama Gagah, Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pauh dan SK Permatang Tok Kandu.

Sementara itu, Ibrahim bersyukur dan berterima kasih kepada pihak terbabit apabila keenam-enam anaknya itu yang berusia antara enam hingga 15 tahun akan kembali meneruskan persekolahan mereka pada tahun hadapan.

Dia berkata, dengan pendapatan kasar RM1,000 sebulan sebagai tukang kebun di sebuah sekolah tidak mencukupi menyara persekolahan anak-anaknya itu selain perbelanjaan harian lain.

“Saya akan memastikan semua anak yang menerima sumbangan ini ke sekolah untuk menyambung pembelajaran mereka yang selama ini tercicir.

“Hanya Allah SWT yang mampu balas budi baik pihak terbabit, sekali gus meringankan bebanan yang dipikul saya selama ini,” katanya.

Terdahulu, kisah Ibrahim pernah disiarkan Harian Metro pada 23 September dan 4 Oktober lalu apabila dibelenggu masalah kewangan membuatkan enam daripada lapan anaknya terpaksa berhenti sekolah sejak Januari lalu.

Sebelum itu, mereka menetap di Teluk Kumbar, Bayan Lepas dan enam anak mereka masih bersekolah, namun selepas berpindah ke Flat Ampang Jajar, kewangan Ibrahim merosot teruk disebabkan baru sahaja mendapat kerja.

Berikutan itu, enam anaknya tidak dapat meneruskan persekolahan kerana tidak mampu menanggung yuran, kos pengangkutan untuk naik bas dan duit belanja sekolah selain bil utiliti dan sewa rumah tertunggak, manakala isterinya, Siti Aminah Omar, 36 kehilangan anak kesembilan mereka selepas kandungannya berusia tujuh bulan meninggal dunia akibat ditimpa kemalangan lebih sebulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 4:30 AM