Ibrahim menunjukkan keadaan kaki kiri isterinya, Siti Aminah yang menerima 22 jahitan di bawah betis dan di buku lali akibat kemalangan. FOTO Muhammad Shalaby Shahbuddin
Ibrahim menunjukkan keadaan kaki kiri isterinya, Siti Aminah yang menerima 22 jahitan di bawah betis dan di buku lali akibat kemalangan. FOTO Muhammad Shalaby Shahbuddin
Muhammad Shalaby Shahbuddin


SEORANG lelaki bukan saja tidak dapat menghantar enam daripada lapan anaknya ke sekolah sejak Januari lalu kerana masalah kewangan, malah kandungan isterinya berusia tujuh bulan meninggal dunia akibat ditimpa kemalangan hampir dua minggu lalu.

Ibrahim Mohd Noor, 46, berkata, isterinya, Siti Aminah Omar, 36, menerima 22 jahitan di bawah betis kaki kiri dan patah pergelangan kaki selepas dilanggar sebuah kereta ketika menunggang motosikal berhampiran simpang masuk ke kediaman mereka di Flat Ampang Jajar, Butterworth pada 9 malam, 20 September lalu.

Dia berkata, pemandu kereta melarikan diri dari tempat kejadian menyebabkan Siti Aminah yang menunggang motosikal bersama dua anaknya iaitu Nur Azirah Ibrahim, 15, dan Nur Laila Ibrahim, 14, bukan saja mengalami kecederaan teruk malah turut bersedih apabila keguguran kandungan berusia tujuh bulan.

"Saya reda atas apa yang berlaku, namun keadaan bertambah sukar kerana saya perlu membawa isteri ke klinik kesihatan berhampiran setiap hari, sekali gus menjejaskan komitmen kerja saya sebagai tukang kebun.

"Siti Aminah kini hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda dan perlu menunggu bantuan saya untuk menguruskan dirinya selain pergerakannya terbatas untuk menjaga anak masih kecil di rumah," katanya.

Ibrahim berkata, kecederaan kaki isterinya itu menyukarkannya untuk menggunakan motosikal ke klinik berhampiran berikutan kereta lama peninggalan arwah bapanya rosak sejak tiga bulan lalu.

Dia berkata, perancangan mempercepatkan persekolahan anaknya semakin kelam apabila isterinya turut tidak dapat membuat kerja sampingan sebagai tukang cuci di rumah jiran bagi menjana pendapatan mereka.

"Saya dan isteri bersyukur penduduk setempat menziarahi dan menghulurkan sumbangan barangan dapur, sekali gus meringankan bebanan ditanggung kami sekeluarga sejak kisah kami disiarkan dalam akhbar Harian Metro sebelum ini.

"Walaupun belum mempunyai kewangan kukuh untuk menghantar anak ke sekolah semula, saya berharap ada pihak sudi menghulurkan sumbangan susu khas untuk tulang seorang anak kami, Muhammad Syaiful, 12, yang berstatus orang kurang upaya (OKU) pembelajaran kini tidak dapat berjalan atau berdiri berikutan dua kakinya lembik sejak hampir empat bulan lalu," katanya.

Terdahulu, kisah Ibrahim pernah disiarkan dalam Harian Metro pada 23 September lalu apabila dibelenggu masalah kewangan membuatkan enam daripada lapan anaknya terpaksa berhenti sekolah sejak Januari lalu.

Sebelum itu, mereka menetap di Teluk Kumbar, Bayan Lepas dan enam anak mereka masih bersekolah, namun selepas berpindah ke Flat Ampang Jajar, kewangan Ibrahim merosot teruk disebabkan baru sahaja mendapat kerja.

Berikutan itu, enam anaknya tidak dapat meneruskan persekolahan kerana tidak mampu menanggung yuran, kos pengangkutan untuk naik bas dan duit belanja sekolah selain bil utiliti dan sewa rumah tertunggak, manakala isterinya, Siti Aminah sebelum itu hamil tujuh bulan anak kesembilan mereka.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan bebanan keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan kepada Ibrahim di akaun Maybank 157054756634 atau menghubunginya di talian 01124188491.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 8:14 PM