IBRAHIM (tengah) dan isteri, Siti Aminah  bersama lapan anak mereka  di Flat Ampang Jajar, Butterworth.
IBRAHIM (tengah) dan isteri, Siti Aminah bersama lapan anak mereka di Flat Ampang Jajar, Butterworth.
Muhammad Shalaby Shahbuddin

Butterworth: Bebanan kewangan yang membelenggu seorang bapa membuatkan enam daripada lapan anaknya terpaksa berhenti sekolah sejak Januari lalu.

Ibrahim Mohd Noor, 46, yang bekerja sebagai tukang kebun berkata, pendapatan kasar RM1,000 diperolehnya setiap bulan hanya cukup untuk menampung perbelanjaan harian mereka 10 beranak termasuk lapan anaknya berusia antara dua hingga 18 tahun.

Dia berkata, isterinya, Siti Aminah Omar, 36, hamil tujuh bulan anak kesembilan mereka sekali gus memerlukannya menyediakan kos kewangan untuk perbelanjaan bersalin.

“Sebelum ini, kami menetap di Teluk Kumbar, Bayan Lepas dan semua anak saya masih bersekolah, namun selepas berpindah ke sini Januari lalu, kewangan saya merosot teruk disebabkan baru mendapat kerja sebagai tukang kebun lima bulan lalu.

“Berikutan itu, enam anak saya tidak dapat meneruskan persekolahan kerana saya tidak mampu menanggung yuran, kos pengangkutan untuk naik bas dan duit belanja mereka.

“Bukan itu saja, seorang daripada anak saya, Muhammad Syaiful Ibrahim yang berusia 12 tahun berstatus orang kurang upaya kerana masalah pembelajaran dan kini tidak dapat berjalan atau berdiri berikutan dua kakinya lembik sejak tiga bulan lalu,” katanya di Flat Ampang Jajar, di sini.

Ibrahim berkata, pendapatan yang diperoleh isterinya sebagai tukang cuci di rumah jiran di kawasan berhampiran juga tidak menentu sekali gus membuatkan kewangan keluarga semakin teruk sehingga bil utiliti dan sewa rumah tertunggak.

“Kami pernah menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 ketika menetap di Teluk Kumbar, namun bantuan terbabit bagi bulan ini tidak diterima berkemungkinan kerana sudah berpindah ke sini,” katanya.

Menurutnya, proses borang permohonan dan penukaran alamat sudah dihantar ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Prai Utara di Kepala Batas, dan dia berharap dapat menerima bantuan terbabit semula bagi meringankan bebanan sedia ada.

Katanya, bantuan wang tunai yang disumbangkan Zakat Pulau Pinang setahun sekali sedikit sebanyak meringankan beban mereka sekeluarga dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan bebanan keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan kepada Ibrahim di akaun Maybank, 157054756634.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 3:04 AM