Sebahagian murid menerima bantuan kelengkapan persekolahan dalam Majlis Penyampaian Penghargaan Anugerah Cemerlang UPSR, Program Kembali ke Sekolah serta Penyampaian Replika Cek. (Gambar kecil) Zareezol dan Norasmiera Ellyana.
Sebahagian murid menerima bantuan kelengkapan persekolahan dalam Majlis Penyampaian Penghargaan Anugerah Cemerlang UPSR, Program Kembali ke Sekolah serta Penyampaian Replika Cek. (Gambar kecil) Zareezol dan Norasmiera Ellyana.
Muhammad Shalaby Shahbuddin


DIBELENGGU masalah kewangan bukan penghalang seorang bapa untuk mendidik dan memastikan anaknya meraih keputusan cemerlang 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), baru-baru ini.

Zareezol Zainun, 45, berkata, biarpun pendapatan yang diperoleh hasil bekerja di kedai makan hanya cukup-cukup makan, namun dia tidak pernah putus asa memastikan pendidikan anaknya tidak terabai dan tercicir.

"Saya mahu memastikan anak saya Norasmiera Ellyana Tesha Zareezol, 12, berjaya dalam pelajarannya.

"Saya dan isteri selalu berpesan kepada Norasmiera untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah kehidupan keluarga, selain dia yang sudah menanam cita-cita untuk menjadi seorang doktor satu hari nanti," katanya.

Dia ditemui selepas anaknya menjadi antara 206 murid yang menerima sumbangan wang tunai, jam tangan dan beg sekolah daripada Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said pada Majlis Penyampaian Penghargaan Anugerah Cemerlang UPSR, Program Kembali ke Sekolah serta Penyampaian Replika Cek kepada Sekolah dalam Parlimen Permatang Pauh di Dewan Mutiara Politeknik Seberang Perai (PSP), hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Farid Hassan dan Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Syed Jaafar Syed Abd Aziz.

Sementara itu, Zaidi berkata, pada hari ini sebanyak empat program bantuan dijalankan serentak yang turut membabitkan kerjasama Kelab Putera 1Malaysia.

Beliau berkata, peruntukkan kos keseluruhan bantuan dianggarkan berjumlah RM1 juta membabitkan sumbangan penghargaan kepada murid cemerlang UPSR membabitkan 15 buah sekolah rendah (SK)dan enam SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) , sumbangan RM15,000 kepada setiap sekolah daripada 21 buah sekolah rendah dan RM10,000 setiap sekolah daripada 15 sekolah menengah kebangsaan (SMK) dalam Parlimen Permatang Pauh.

“Bantuan tambahan lain iaitu bantuan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sama Gagah sebanyak RM30,000 untuk aktiviti sekolah transformasi danSMK Permatang Rawa sebanyak RM20,000 untuk membina pusat bacaan selain SK Pauh Jaya dan SMK Guar Perahu turut menerima bantuan tambahan untuk menaik taraf kemudahan dewan sekolah masing-masing.

“Seramai 1,000 murid turut menerima kelengkapan pakaian sekolah selain penyampaian cenderahati kepada tiga bekas guru besar dari SK Pauh Jaya, SK Permatang Pauh dan SK Seberang Jaya 1 dan diharap kesemua bantuan itu dapat meringankan beban ibu bapa dan pihak sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 11:19 PM