WONG dijatuhi hukuman atas enam pertuduhan menipu pembelian rumah PPR Padang Hiliran.
WONG dijatuhi hukuman atas enam pertuduhan menipu pembelian rumah PPR Padang Hiliran.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 13 bulan dan enam sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas didapati bersalah terhadap enam pertuduhan menipu pembelian rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh, Wong Chin Chok, 42, dari Kuantan, Pahang mengaku bersalah terhadap pertuduhan terbabit mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdaya Ong See Lee, 43, untuk mempercayainya boleh menolong mendapatkan rumah PPR Padang Hiliran sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM3,982 di sebuah rumah di Pangsapuri Permai, Jalan Pejabat di sini, jam 3 petang, 30 Julai 2015.

Selain itu, tertuduh turut melakukan kesalahan sama dengan memperdayakan Ong Lee Lee, 37, dan Lim Kuan Chu, 69, sehingga kedua-dua mangsa masing-masing menyerahkan RM4,000 di sebuah rumah di tempat yang sama, jam 2 petang, 26 Januari 2016 serta RM4,482 di sebuah rumah di Kampung Tok Adis, Kuala Ibai, jam 2 petang, 29 Ogos 2015.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh turut menipu Wong Siew Sean, 49, di sebuah rumah di Kampung Tok Adis, jam 6 petang, 9 Ogos 2015 sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang tunai RM7,964.

Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama bagi pertuduhan kelima dan keenam dengan menipu Chang Choo Kuan, 60, dan Lee Ket Wei, 28, sehingga menyebabkan mereka masing-masing menyerahkan wang tunai RM3,000.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Flat Bukit Kecil, jam 8.30 malam, 20 Julai 2015 dan di sebuah rumah di Kampung Tok Adis, Kuala Ibai, jam 8 malam, 5 Ogos 2015.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna.

Pada 5 April lalu, Wong dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan empat sebatan oleh mahkamah sama selepas mengaku salah terhadap empat pertuduhan menipu pembelian rumah PPR Padang Hiliran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 6:46 AM