Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelantikan Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS berkuat kuasa 1 April 2015 hingga 31 Mac 2018.

Beliau menggantikan Tan Sri Shamsul Azhar Abbas yang tamat kontrak perkhidmatannya semalam, tetapi disambung dari 10 Februari 2015 hingga 31 Mac 2015.

Najib dalam kenyataannya berkata, kerajaan mengucapkan terima kasih kepada Shamsul Azhar atas sumbangan beliau kepada PETRONAS sejak memegang jawatan itu pada 2010.

Beliau berkhidmat dengan PETRONAS sejak 1975 dengan memegang beberapa jawatan kanan pentadbiran.

Perdana Menteri berharap Shamsul Azhar dapat menyumbang kepada pembangunan negara, terutama dalam bidang tenaga berdasarkan pengetahuan dan pengalaman luas yang beliau miliki.

Sementara itu, Wan Zulkiflee mempunyai pengalaman luas dalam industri petroleum negara dan kini memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi PETRONAS serta Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Hiliran.

Selain itu beliau juga ialah Pengerusi PETRONAS Chemicals Group Bhd dan PETRONAS Dagangan Bhd.

Najib berkata, Wan Zulkiflee mempunyai kelayakan serta pengalaman untuk membawa kejayaan berterusan kepada PETRONAS. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 7:56 AM